firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Mampukah Kim Pan-gon sekat Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala Malaysia buat kali keempat berturut-turut musim ini?
Itu saat paling dinanti-nantikan peminat bola sepak negara khususnya penyokong setia skuad Red Giants selepas Pan-gon yang juga bekas pengendali skuad Harimau Malaya menyertai Selangor FC.
Pan-gon sememangnya terbukti memiliki sentuhan ‘magis’ tersendiri yang mampu mengubah nasib pasukan seperti mana beliau lakukan ketika membimbing skuad negara.
Malaysia yang kali terakhir layak ke Piala Asia pada 1980, melakukan kejutan terbesar apabila menamatkan badi selama 43 tahun untuk membawa skuad negara muncul antara pasukan terbaik Asia di saingan Piala Asia 2023 lalu.
Malah, dalam kejohanan itu menyaksikan pasukan kebangsaan hampir mengaibkan Korea Selatan dalam aksi terakhir peringkat kumpulan apabila mengikat gergasi Asia itu dengan 3-3.
Justeru, adakah skrip sama mampu dilakukan Selangor FC dalam Piala Malaysia, di mana status JDT sebagai gergasi tanahair cukup gah. Malah, dalam dua aksi Liga Super di bawah kendalian Pan-gon menyaksikan bekas juara 33 kali Piala Malaysia menang kedua-dua aksi ke atas Brunei DPMM FC (5-2) dan Negeri Sembilan FC (1-0).
Bagi JDT pula, musim ini satu lagi cabaran buat mereka untuk sekali lagi mempertahankan gelaran. Dominasi berterusan Harimau Selatan dalam bola sepak tempatan menjadikan setiap perlawanan mereka medan ujian buat pencabar lain.
JDT akan memulakan kempen pusingan 16 dengan menentang PDRM FC dalam aksi pertama dan prestasi konsisten dalam Liga Super ketika ini meletakkan mereka berada pada landasan tepat untuk meneruskan penguasaan di pentas domestik.
JDT nyata sentiasa berada dalam kelas tersendiri dengan mereka terus menampilkan keseimbangan ampuh antara serangan dan pertahanan. Kedalaman skuad, ditambah pengalaman luas dalam perlawanan berintensiti tinggi, memberi kelebihan besar kepada pasukan dari selatan tanah air itu dalam misi mempertahankan gelaran.
KL City FC pula hadir ke pusingan 16 dengan misi menebus kekecewaan selepas prestasi tidak menentu dalam Liga Super sejak akhir-akhir ini. Kekalahan kepada Penang FC baru-baru ini menjadi peringatan buat skuad kendalian Risto Vidakovic, namun pengalaman mereka di pentas Piala Malaysia membuktikan pasukan ini mampu bangkit pada saat genting.
Sementara itu, Kuching City FC dilihat sebagai pasukan ‘kuda hitam’ yang berpotensi mencuri tumpuan. Prestasi mereka dalam Liga Super menunjukkan peningkatan ketara, dengan semangat juang tinggi serta pendekatan taktikal yang semakin matang.
Kehadiran beberapa pemain import yang konsisten, digabungkan dengan barisan pemain tempatan yang berdisiplin, memberi Kuching City keyakinan untuk mencabar pasukan besar, meskipun laluan dalam kejohanan kalah mati ini dijangka berliku.
Manakala pasukan lain seperti Terengganu FC, Penang FC, Negeri Sembilan FC dan lain-lain mungkin mempunyai peluang namun agak sukar untuk mengenepikan empat pasukan pilihan itu.
Secara keseluruhan, pusingan 16 Piala Malaysia musim ini dijangka berlangsung sengit dengan JDT masih menjadi pasukan yang perlu ditewaskan. Namun, kebangkitan Selangor FC di bawah Pan-gon, bersama cabaran daripada KL City FC dan Kuching City FC, menjadikan perebutan kejuaraan kali ini lebih terbuka dan menarik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




