Donald ajak Garcia kembali bersama Pasukan Eropah

Donald ajak Garcia kembali bersama Pasukan Eropah

New York: Kapten Pasukan Piala Ryder Eropah, Luke Donald mendedahkan dia sedang berunding dengan pemain LIV golf, Sergio Garcia mengenai kemungkinan kembali bersama pasukan untuk menentang Amerika Syarikat (AS), tahun depan.

Bercakap pada majlis pelancaran Piala Ryder Eropah-AS di Bethpage, Donald mengesahkan berbincang dengan Garcia mengenai kesediaannya.

Garcia yang juga pendahulu pungutan mata sepanjang zaman Piala Ryder dengan 28.5 mata dalam 10 penampilan, tidak bermain di kejohanan di Rom, tahun lalu selepas memilih untuk menyertai sirkit LIV Golf.

Bagaimanapun, Donald berkata, Garcia kini menimbangkan untuk menyertai semula Jelajah DP World bagi membolehkannya layak menyertai pemilihan.

“Sudah tentu, dia melepaskan keahliannya beberapa tahun lalu,” kata Donald mengenai Garcia.

“Tetapi, kami sudah berbual dan dia sedang menimbangkan untuk menyertai semula.

“Dia perlu mematuhi semua peraturan dan undang-undang seperti orang lain dan jika melakukannya, dia layak untuk mengambil bahagian dalam Piala Ryder.

“Kami berbual menerusi telefon beberapa minggu lalu. Dia sangat berminat melakukan perkara itu. Dia faham segala yang terbabit dan sekali lagi, keputusan bergantung kepadanya dan sama ada dia bersedia atau tidak.

“Tetapi yang pasti, kami memang sudah berbincang.”

Donald berkata, berdasarkan peraturan semasa, pemain LIV turut layak bermain mengikut pilihan kapten.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top