Donald Trump Akan Hadir Sidang ASEAN Di KL – PMX

Donald Trump Akan Hadir Sidang ASEAN Di KL – PMX

Kuala Lumpur, 31 Julai — Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN pada bulan Oktober, umum Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.

Anwar berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu semasa panggilan telefon dengan Trump pagi tadi.

“Saya beritahu beliau bahawa saya akan umumkan kehadirannya pada sidang Dewan hari ini,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Rakyat.

Awal bulan ini, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, memberi bayangan bahawa Trump mungkin akan hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober.

Anwar turut memaklumkan bahawa kadar tarif baharu terhadap Malaysia akan diumumkan esok.

“Insya-Allah, ia tidak akan membebankan ekonomi negara,” katanya.

Pada awal bulan ini, Amerika Syarikat mengenakan tarif sebanyak 25% ke atas Malaysia berkuat kuasa 1 Ogos — kadar yang Trump sifatkan sebagai “jauh lebih rendah” daripada apa yang diperlukan untuk menghapuskan defisit perdagangan AS dengan Malaysia.

Kadar tersebut juga lebih tinggi berbanding tarif awal 24% yang dikenakan ke atas beberapa eksport Malaysia ke AS, yang sebelum ini diberi penangguhan selama 90 hari yang berakhir hari ini.

Anwar berkata beberapa siri perbincangan telah diadakan antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dengan Wakil Perdagangan AS serta Setiausaha Perdagangan AS.

“Selepas perbincangan tersebut dan selepas mendengar penjelasan saya, beliau (Trump) memutuskan untuk menangguhkan pengumuman kadar tarif itu ke hari esok,” katanya.


Scroll to Top