Donkervoort hasil edisi khas P24 RS hanya 150 unit di dunia

Donkervoort hasil edisi khas P24 RS hanya 150 unit di dunia

lizamridzuan@hmetro.com.my

Jenama Donkervoort mungkin tidak sepopular Ferrari atau Lamborghini, namun pengeluar kereta sport dari Belanda ini mempunyai tempat tersendiri dalam dunia automotif berprestasi tinggi.

Diasaskan pada 1978, Donkervoort terkenal dengan falsafah kejuruteraan yang berbeza dengan menolak kemewahan berlebihan dan teknologi elektronik kompleks, sebaliknya memberi fokus kepada jentera ultra-ringan, keaslian mekanikal serta pengalaman pemanduan yang benar-benar ‘ada rasa’ kepada pemandu.

Berbeza dengan kebanyakan supercar moden yang sarat sistem bantuan elektronik dan ciri keselesaan mewah, Donkervoort tampil dengan pendekatan ringkas, tetapi ekstrem.

Setiap model dibangunkan untuk memberikan rasa pemanduan ‘raw’ dan jujur, sekali gus menghasilkan jentera yang bukan sahaja pantas di atas kertas, malah mampu mencetuskan emosi di sebalik stereng.

Terbaharu, Donkervoort memperkenalkan Donkervoort P24 RS, yang disifatkan sebagai model paling emosional dan paling maju dalam sejarah 48 tahun jenama itu.

Jentera eksklusif ini mengekalkan identiti rekaan ikonik Donkervoort dengan ‘hidung panjang’ dan roda depan terdedah, namun dipadankan dengan sentuhan moden termasuk lampu utama ‘swing-out’ adalah teknologi pertama seumpamanya di dunia automotif.

Dalam usaha mengejar nisbah kuasa-ke-berat optimum, P24 RS hanya seberat 780 kilogram hasil penggunaan struktur gentian karbon Ex-Core, teknologi yang turut digunakan dalam dunia Formula 1 dan industri aeroangkasa.

Gabungan bahan ringan dan kejuruteraan ekstrem ini menjadikan P24 RS antara kereta sport paling ringan dalam kelasnya.

Di sebalik bonet panjang itu terletak enjin 3.5 liter V6 berkembar turbo ‘Power To Choose’ (PTC) yang mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 600 kuasa kuda (hp) dengan tork setinggi 800Nm.

Lebih menarik, pemandu boleh memilih tahap output kuasa sama ada 400hp, 500hp atau 600hp mengikut situasi pemanduan melalui perisian pengurusan enjin khas.

Daripada sudut prestasi, P24 RS mencatat pecutan 0 ke 200 kilometer/jam (km/j) hanya dalam 7.4 saat, manakala kelajuan maksimum melepasi 300km/j.

Selari dengan falsafah pemanduan tulen Donkervoort, jentera ini tidak dilengkapi sistem bantuan elektronik konvensional seperti kawalan gelincir, stereng kuasa atau bantuan brek automatik.

Walaupun ekstrem, aspek praktikal tidak diketepikan dan ia didatangkan dengan ruang but berkapasiti 298 liter adalah setanding sebuah hatchback kecil serta ruang kabin yang boleh memuatkan pemandu setinggi 2.05 meter membuktikan P24 RS masih relevan untuk kegunaan sebenar.

Nama ‘P24’ pula diambil sempena PhÈbe, anak kedua Pengarah Urusan Donkervoort, Denis Donkervoort, yang lahir pada tahun ini, sekali gus meneruskan tradisi penamaan berunsur kekeluargaan syarikat itu.

Hanya 150 unit P24 RS akan dihasilkan secara buatan tangan di Lelystad, Belanda, dengan lebih 50 unit sudah ditempah oleh pelanggan di Eropah, Amerika Syarikat dan Timur Tengah.

Jentera ‘rare’ ini ditawarkan pada harga bermula €298,500 (sekitar RM1.53 juta), tidak termasuk pilihan binaan khas (custom) tambahan mengikut cita rasa pemilik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top