London: Gianluigi Donnarumma menegaskan dia kecewa dengan laporan yang mendakwa pemain Itali meminta bonus sekiranya layak ke Piala Dunia, sambil menafikan dakwaan berkenaan.
Kapten Itali itu menjelaskan tiada seorang pun pemain pernah meminta ganjaran kewangan daripada persekutuan, sebaliknya menyifatkan insentif yang diberikan adalah amalan biasa kepada pemain yang berjaya layak ke kejohanan besar.
“Itu sahaja, tiada siapa meminta apa-apa. Ganjaran sebenar kami adalah peluang beraksi di Piala Dunia,” katanya.
Kenyataan itu hadir selepas kekecewaan besar menimpa Itali apabila gagal layak ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut selepas tewas kepada Bosnia and Herzegovina menerusi penentuan penalti dalam aksi playoff bulan lalu.
Kegagalan itu turut menyaksikan Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali, Gabriele Gravina meletakkan jawatan, diikuti legenda penjaga gol Gianluigi Buffon yang mengundur diri sebagai ketua delegasi pasukan, manakala jurulatih Gennaro Gattuso turut meninggalkan pasukan.
Donnarumma menegaskan skuad Itali kini perlu bangkit dan memulakan semula perancangan dengan memberi fokus kepada kejohanan lain seperti Kejuaraan Eropah dan Liga Negara-Negara sebelum memikirkan semula cabaran ke Piala Dunia akan datang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




