Donnarumma kurang senang gaya Vinicius

Donnarumma kurang senang gaya Vinicius

Manchester: Gianluigi Donnarumma menegur aksi meraikan gol Vinicius Junior di depan penyokong Manchester City, sambil menegaskan pemain bertaraf dunia sepertinya wajar disukai semua pihak.

Vinicius menjaringkan dua gol ketika Real Madrid menewaskan City 2-1 di Etihad, sekali gus melengkapkan kemenangan agregat 5-1 untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun, gaya sambutan gol pemain Brazil itu mencetus perhatian apabila dia melakukan aksi mock crying sebagai reaksi terhadap sepanduk penyokong City sebelum ini.

Situasi menjadi lebih tegang apabila Vinicius meraikan gol kedua di hadapan penyokong tuan rumah sambil menunjuk ke arah namanya di jersi.

Donnarumma dilihat menghampiri pemain itu selepas jaringan berkenaan sebelum menjelaskan pendiriannya.

“Dia seorang juara dan sepatutnya disukai semua orang. Saya beritahu dia perkara itu.

“Dia bermain sangat baik dalam dua perlawanan, tetapi pemain seperti dia perlu cuba membuat semua orang menyukainya,” katanya.

Dalam perlawanan itu, City terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas kapten Bernardo Silva dilayangkan kad merah.

Erling Haaland sempat menjaringkan gol buat City, namun ia tidak cukup untuk menghalang Real daripada mara.

Donnarumma tetap berbangga dengan prestasi rakan sepasukan walaupun tewas.

“Kami bermain baik dan jika 11 lawan 11, mungkin keputusannya berbeza,” katanya.

City kini perlu segera bangkit menjelang final Piala Liga menentang Arsenal di Wembley, Isnin ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top