saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perbincangan sedikit berbeza berbanding kebiasaan dengan pasukan Moto3 di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) memungkinkan pelumba sensasi negara, Hakim Danish Ramli dapat memenuhi impian untuk beraksi pada musim penuh perlumbaan berprestij itu, tahun depan.
Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin ketika mendedahkan perkara itu menerusi podcast Apa-Apa Saja Harian Metro berkata, pencapaian Hakim Danish yang menamatkan saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup di tempat ketiga keseluruhan adalah antara faktor penting membantunya dalam proses rundingan bersama pasukan disasarkan.
Malah, katanya, keinginan pemegang hak komersial dan penganjur rasmi MotoGP, Dorna yang mahukan pelumba Malaysia beraksi di perlumbaan berprestij itu, menambahkan keyakinannya untuk memenuhi impian Hakim Danish beraksi pada musim penuh, tahun depan.
“Sebenarnya memang dalam perancangan saya untuk letakkan Hakim Danish di Kejuaraan Dunia sebagai pelumba musim penuh Moto3.
“Ini adalah perancangan jangka masa pendek. Impian kita di jangka masa panjang adalah (untuk Hakim Danish) beraksi di MotoGP.
“Langkah seterusnya (kini) adalah untuk Hakim Danish berlumba dekat Moto3 Kejuaraan Dunia tahun hadapan dan saya sekarang memang dalam rundingan dengan pasukan.
“Ada beberapa butiran yang saya perlu uruskan dan semuanya berjalan dengan lancar serta positif dan saya harapkan dengan prestasi (Hakim) Danish tahun ini, dia akan seimbangkan kita dengan berapa banyak yang kita perlu bayar kepada pasukan.
“Sebab hendak pergi berlumba dekat Kejuaraan Dunia ini selalunya dikenakan yuran. Tapi rundingan saya kali ini sedikit berbeza disebabkan prestasi Hakim Danish dekat Red Bull Rookies Cup dan JuniorGP.
“Tambahan pula, dalam masa sama, Dorna hendak ada pelumba Malaysia berlumba dekat dalam Moto3 di Kejuaraan Dunia kerana terlalu banyak pelumba Sepanyol.
“Saya harapkan perancangan ini berjalan dengan lancar dan harap-harap Danish dapat berlumba dalam kelas Moto3 di Kejuaraan Dunia tahun depan,” katanya.
Zulfahmi menegaskan, beliau hanya mengadakan perbincangan bersama antara pasukan terbaik di kelas Moto3 dalam usahanya memastikan Hakim Danish mampu beraksi cemerlang sekiranya dapat berlumba pada musim penuh, tahun depan.
“Kita nampak pelumba Asia apabila tahun pertama sahaja masuk ke Kejuaraan Dunia, jarang beraksi dengan baik.
“Mungkin disebabkan budaya kita berbeza. Tahap antara (perlumbaan) JuniorGP, Red Bull Rookies Cup dengan Kejuaraan Dunia jauh.
“Tekanan lebih tinggi dekat Kejuaraan Dunia. Jadi, pelumba Asia yang masuk ke Kejuaraan Dunia selalunya akan bergelut dengan budaya Kejuaraan Dunia ini. Jadi, kita harapkan dapat elak, tepis perkara itu dan (Hakim Danish) dapat beraksi dengan lebih baik,” katanya.
Semalam, Zulfahmi secara eksklusif menerusi podcast sama mendedahkan Hakim Danish akan beraksi bersama pasukan kedua terbaik di Kejuaraan Dunia iaitu MT Helmets MSI menerusi tiket wild card pada Grand Prix (GP) Malaysia dekat Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 24 sehingga 26 Oktober ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




