Dortmund bedal Celtic 7-1

Dortmund bedal Celtic 7-1

Dortmund, Jerman: Karim Adeyemi menjaringkan tiga gol pada babak pertama ketika Borussia Dortmund membelasah Celtic 7-1 dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Celtic tiba dengan rekod 100 peratus di Scotland dan Eropah musim ini tetapi tersembam di Jerman menyaksikan Dortmund mendahului 5-1 pada babak pertama.

Emre Can membuka pesta jaringan Dortmund menerusi penalti sebelum Adeyemi mengganas dengan meledak tiga gol manakala gol kelima turut menerusi penalti disempurnakan Serhou Guirassy.

Kelincahan Adeyemi sukar disekat pertahanan lawan. Walaupun dia digantikan pada awal babak kedua, Celtic tetap gagal memanfaatkan peluang sehingga membolehkan Guirassy menjaringkan gol secara solo dan Felix Nmecha menambah derita lawan pada lewat permainan.

Kemenangan itu menyamai rekod kemenangan terbesar Dortmund dalam sejarah UCL manakala Celtic perlu memperbaiki prestasi mereka jika mahu menyerlah di peringkat Eropah.

“Perlawanan sangat istimewa,” kata Adeyemi yang dipilih pemain terbaik perlawanan. “Pasukan menjaringkan banyak gol, setiap percubaan masuk ke gawang.”

Can pula berkata kepada Amazon Prime: “Tiada perlawanan sempurna tetapi ia sangat bagus dan itu tahap yang kami tetapkan.”

Kemenangan besar itu meletakkan Dortmund di puncak carta UCL manakala Celtic di pertengahan walaupun menang 5-1 ke atas Bratislava pada aksi pembukaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top