Berlin: Borussia Dortmund berharap prestasi cemerlang dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) dapat menjadi tonik terbaik apabila mereka memburu kemenangan pertama dalam tiga aksi Bundesliga menentang Cologne di laman sendiri, Ahad ini.
Kelab dari Lembah Ruhr itu tewas buat kali pertama musim ini selepas tunduk kepada pendahulu liga, Bayern Munich, dalam aksi Klassiker minggu lalu yang menyaksikan mereka jatuh ke tangga keempat, tujuh mata di belakang Bayern.
Bagaimanapun, skuad kendalian Niko Kovac pantas bangkit apabila menewaskan FC Copenhagen 4-2 dalam saingan UCL semalam.
Ia juga menjadi perlawanan ketiga berturut-turut Dortmund menjaringkan empat gol dalam kejohanan berprestij itu hasil corak permainan pantas dan menyerang, sekali gus memiliki serangan kedua terbaik dalam saingan berkenaan dengan tujuh mata dikumpul setakat ini.
Namun, kempen Bundesliga mereka sedikit terganggu apabila seri dengan RB Leipzig sebelum tewas di Munich.
Dengan empat aksi berturut-turut di tempat lawan selepas pertemuan menentang Cologne, membabitkan Piala Jerman, UCL dan Bundesliga, Dortmund sedar mereka perlu memanfaatkan peluang beraksi di hadapan penyokong sendiri.
“Kami secara keseluruhannya berada dalam keadaan stabil, tetapi apa yang penting ialah keputusan,” kata pengarah sukan Dortmund, Sebastian Kehl.
“Kemenangan di Copenhagen memberikan keyakinan besar dan membuktikan kami memiliki kualiti walaupun melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama.”
Kovac turut menegaskan bahawa skuadnya kini semakin konsisten dengan keseimbangan antara serangan dan pertahanan.
“Kami mahu bermain secara menyerang dan menekan lawan supaya mereka melakukan kesilapan. Ia berkesan dalam UCL,” katanya.
“Dalam Bundesliga, kami tidak kecewa, cuma mahu tampil lebih baik lagi.
“Saya mahu lebih banyak peluang serta jaringan. Untuk itu, kami perlu kukuh di bahagian pertahanan bagi membolehkan bahagian serangan menonjol,” tambahnya.
Sementara itu, pendahulu liga Bayern Munich yang baru membelasah Club Brugge 4-0 dalam saingan Eropah, akan berkunjung ke gelanggang Borussia Moenchengladbach dengan misi memburu kemenangan ke-13 berturut-turut dalam semua kejohanan.
Bayern kini mengumpul 21 mata, lima mata di depan RB Leipzig yang akan bertandang ke Augsburg.
© New Straits Times Press (M) Bhd




