Atlanta: Borussia Dortmund perlu mengatasi ‘superstar’ Sergio Ramos dan mentaliti kemenangannya untuk mara ke suku akhir Piala Dunia Kelab esok, kata jurulatih pasukan Jerman itu, Niko Kovac.
Bekas kapten Real Madrid dan pemenang Liga Juara-Juara sebanyak empat kali, Ramos, 39, kini menjadi tonggak pertahanan Monterrey dan Kovac menekankan keinginan pemain Sepanyol itu untuk menang serta gaya permainan agresif Monterrey.
“Dia seorang superstar, anda tahu,” kata Kovac dalam sidang media awal pagi tadi menjelang perlawanan pusingan 16 terbaik menentang kelab Mexico itu.
“Semua pemain yang bermain begitu lama menunjukkan mentaliti mereka. Mereka adalah pemenang, mereka mahu menang dalam setiap sesi latihan, setiap perlawanan, mahu berada pada tahap tertinggi dengan setiap hantaran dalam latihan,” jelas jurulatih dari Croatia itu.
“Dia seorang pemimpin, dan sebagai pemimpin, anda mahu kekal selama mungkin di peringkat tertinggi. Agak lucu juga, saya kini seorang jurulatih dan dia masih bermain tetapi saya rasa dia akan jadi jurulatih nanti.”
Ramos akan berhadapan dengan penyerang Dortmund, Serhou Guirassy, yang menyerlah musim ini dan menamatkan saingan sebagai penjaring terbanyak bersama dalam Liga Juara-Juara dengan 13 gol.
Pemain antarabangsa Guinea itu teruja untuk berdepan Ramos.
“Ini kali pertama, saya sangat menantikan perlawanan ini. Saya mahu bermain menentang Sergio Ramos, dia seorang pertahanan yang hebat,” kata Guirassy kepada pemberita.
“Kami perlu tampil kuat, itu sahaja.”
Kovac berkata pasukannya perlu bersedia menghadapi gaya permainan keras yang bakal digunakan oleh Ramos dan rakan sepasukannya di Atlanta.
“Pasukan dari Amerika Latin bermain bola sepak yang lasak, dengan kekuatan fizikal yang tinggi. Bola sepak adalah sukan yang melibatkan sentuhan fizikal, kita tidak boleh anggap ia seperti bola keranjang,” kata Kovac.
“Saya melihatnya secara positif, itu adalah gaya permainan yang saya sukai. Kami perlu menyesuaikan diri.
“Kita tidak sepatutnya mudah diprovokasi, tetapi saya sudah beritahu pemain bahawa mereka mesti mempertahankan diri jika perlu. Saya rasa pengadil juga akan lebih peka terhadap perkara ini.”
Jurulatih itu turut mengadu tentang cuaca panas melampau dalam kejohanan ini, di mana pasukan Jerman terpaksa bermain pada waktu tengah hari di bawah terik matahari.
Namun, perlawanan Selasa di Stadium Mercedes-Benz yang berhawa dingin bakal memberikan kelegaan kepada pasukannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd