hafizithnin@mediaprima.com.my
Putrajaya: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Peningkatan mendedahkan ekonomi Bumiputera secara umumnya bergerak ke hadapan, namun masih terdapat ruang untuk meningkatkan keterlibatan Bumiputera dalam sektor ekonomi berdaya maju bagi mengurangkan jurang.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, DOSM menyediakan Dashboard Bumiputera sebagai rujukan setempat mengenai pencapaian Bumiputera yang menghimpunkan beberapa pemboleh ubah utama termasuk corak agihan gaji, pencapaian ekonomi, struktur sosial dan taburan pendapatan.
“Kita telah diminta menyediakan dashboard untuk menjadi rujukan setempat mengenai pencapaian Bumiputera.
Di situ kita letakkan beberapa pemboleh ubah utama termasuk corak agihan gaji, pencapaian ekonomi, struktur sosial dan taburan pendapatan. Banyak berpaksi kepada ekonomi dan juga sosial,” katanya ketika ditemui selepas program Simfoni Data dan Media di sini, hari ini.
Katanya, penggunaan teknologi membolehkan DOSM menyediakan visualisasi siri masa supaya sasaran yang ditetapkan dapat dipantau secara berterusan.
“Dengan adanya teknologi membolehkan kita menghasilkan visualisasi siri masa. Sasaran yang ditetapkan dapat dilihat secara berterusan.
“Kita permudahkan dalam bentuk dashboard itu dan ia akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa. Terdapat beberapa fasa pengukuhan yang akan dilaksanakan termasuk penambahan analitik,” katanya.
Mohd Uzir berkata secara umumnya peningkatan ekonomi Bumiputera bergerak ke hadapan.
“Bagaimanapun, masih ada ruang supaya keterlibatan Bumiputera dalam sektor-sektor yang berdaya maju dapat dipertingkatkan, sekali gus mengurangkan jurang yang ada.
“Paljng penting, keperluan minimum atau ambang itu dapat dipenuhi kerana kita mempunyai ekonomi yang terbuka. Dalam masa yang sama, agenda Bumiputera perlu diterjemahkan dalam data ekonomi yang memberi petunjuk pencapaian dari semasa ke semasa,” katanya.
Mengulas mengenai pendapatan, beliau berkata secara umumnya gaji Bumiputera dan bukan Bumiputera meningkat pada kadar melebihi lima peratus.
Katanya, namun kadar peningkatan itu dipengaruhi oleh komposisi populasi setiap kumpulan.
“Bagi bukan Bumiputera, komposisi bilangan mereka lebih kecil, maka peningkatan itu turut dipengaruhi oleh saiz populasi.
Bagi Bumiputera pula, populasinya lebih besar, jadi ada segmen yang kadar peningkatannya lebih tinggi, namun secara purata pencapaian itu menjadi lebih sederhana disebabkan faktor populasi,” katanya.
Dashboard Bumiputera adalah antara tiga produk baharu yang diperkenalkan DOSM bersama Dashboard Data Subnasional Malaysia (MySubnational Data Dashboard) dan Indeks Keterjaminan Makanan Malaysia 2024.
© New Straits Times Press (M) Bhd




