am@hmetro.com.my
Butterworth: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) buat julung kalinya melancarkan Indikator Kos Sara Hidup (KSH) 2023.
Bersempena Majlis Ulang Tahun Jubli Intan ke-75 DOSM, laporan itu merangkumi 15 penerbitan termasuk Malaysia dan 14 penerbitan mengikut negeri dan Wilayah Persekutuan bagi tahun 2023 termasuk Indeks Kos Sara Hidup dan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata PAKW dibangunkan oleh DOSM untuk memberi nilaian kos kehidupan wajar.
“Pembangunan PAKW bermula pada tahun 2018 dengan mengambil kira corak perbelanjaan isi rumah berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah.
“Dalam pada itu ia juga merujuk kepada jumlah perbelanjaan bulanan yang diperlukan oleh isi rumah atau individu untuk mencapai kehidupan wajar yang memenuhi keperluan, kehendak dan kemampuan untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan.
“Nilai PAKW ditentukan oleh dua faktor utama iaitu lokasi dan ciri demografi seperti umur, jantina dan saiz isi rumah. Oleh itu, nilai PAKW bagi setiap isi rumah berbeza-beza bergantung kepada ciri-ciri demografi dan lokasi tempat kediaman,” katanya ketika hadir pada peluncuran oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
di Pusat Konvesyen PICCA, di sini, hari ini.
Jelasnya, pembangunan PAKW adalah berdasarkan prinsip keperluan melebihi minimum dengan mengambil kira tiga aspek kehidupan wajar iaitu keperluan, kehendak dan penyertaan sosial berdasarkan corak pendapatan atau perbelanjaan isi rumah.
“Pendekatan ini juga mengambil kira kos makan di luar dan konsep minimum pelbagai untuk pilihan perbelanjaan makanan.
“Dari segi komponen makanan, PAKW mengambil kira keperluan diet asas yang memenuhi keperluan pemakanan seimbang mengikut Piawaian Pengambilan Nutrien yang Disyorkan (RNI), Kementerian Kesihata (KKM).
“Kalkulator PAKW yang dikenali sebagai MyPAKW telah dibangunkan untuk menganggar jumlah perbelanjaan asas bagi taraf kehidupan wajar berdasarkan maklumat seperti faktor demografi dan lokasi, termasuk jantina, umur dan bilangan ahli isi rumah yang setiap individu mempunyai corak perbelanjaan berbeza,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata kalkulator MyPAKW membolehkan orang ramai mengetahui nilai rujukan mereka bagi perbelanjaan asas kehidupan di kawasan dan lokasi masing-masing.
“MyPAKW ini boleh dimuat turun di aplikasi Play Store atau App Store dan boleh jua
diakses melalui laman sesawang: https://mypakw.dosm.gov.my/,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




