Doue wira PSG: Remaja Perancis bantu tundukkan Inter Milan 5-0 di final UCL

Doue wira PSG: Remaja Perancis bantu tundukkan Inter Milan 5-0 di final UCL

Munich, Jerman: Paris Saint-Germain (PSG) akhirnya berjaya menamatkan penantian panjang untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) buat kali pertama selepas membelasah Inter Milan 5-0 dalam aksi final yang berlangsung di Allianz Arena, awal pagi Ahad.

Aksi cemerlang pemain muda, Desire Doue, menjadi pemangkin kepada kemenangan bersejarah itu apabila dia meledak dua gol, sekali gus membantu PSG mencipta rekod kemenangan terbesar dalam sejarah perlawanan akhir kejohanan elit Eropah itu.

Gol awal bekas pemain Inter, Achraf Hakimi, membuka tirai jaringan sebelum Doue menggandakan kedudukan pada minit ke-20. Pemain berusia 19 tahun itu sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-63.

Khvicha Kvaratskhelia menambah jaringan keempat pada minit ke-73 sebelum pemain gantian, Senny Mayulu, melengkapkan malam gemilang PSG dengan jaringan kelima tiga minit sebelum tamat perlawanan.

Kemenangan ini juga menjadikan PSG hanya pasukan kedua dari Perancis selepas Marseille (1993) yang berjaya memenangi Liga Juara-Juara, sekali gus menamatkan era kegagalan era ‘galacticos’ yang sebelum ini dibarisi bintang seperti Lionel Messi, Neymar dan Kylian Mbappe.

“Kami cipta sejarah. Untuk sekian lama kelab ini layak dapat kejayaan ini. Kami kini sebuah keluarga besar,” kata Hakimi yang enggan meraikan gol pertamanya kerana menghormati bekas kelabnya.

PSG bermula garang dengan penguasaan mutlak bola dan permainan pantas, manakala Inter kelihatan tenggelam dengan tekanan. Cubaan mereka untuk bangkit di babak kedua gagal apabila PSG terus menambah derita.

Ketua jurulatih PSG, Luis Enrique, mencipta satu lagi sejarah peribadi apabila menjadi pengendali kedua selepas Pep Guardiola yang merangkul treble (Liga, Piala, UCL) sebanyak dua kali dalam karier kejurulatihannya.

“Semenjak dia datang, dia ubah segala-galanya. Dia bukan saja hebat dari segi taktikal, tetapi manusia yang sangat setia dan layak menerima kejayaan ini,” tambah Hakimi mengenai jurulatihnya, yang dilihat sebak selepas tamat perlawanan sambil memakai baju penghormatan kepada mendiang anak perempuannya, Xana.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top