DPUM sasar 500,000 pengunjung HUN 2025

DPUM sasar 500,000 pengunjung HUN 2025

Kuala Lumpur: Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM) menyasarkan 500,000 pengunjung bakal memeriahkan acara Hari Usahawan Negara (HUN) 2025 yang dijadualkan berlangsung di tempat letak kereta Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di sini, selama enam hari bermula 11 September ini.

Presiden DPUM, Datuk Seri Abu Hassan Mohd Nor berkata, sasaran itu berdasarkan penganjuran yang julung kali membabitkan penyertaan beberapa negara antaranya China, Indonesia, Vietnam, Singapura, Kemboja dan Timur Tengah.

Katanya, selepas kali pertama HUN dianjurkan pada 2022 yang hanya membabitkan usahawan tempatan disebabkan Covid-19 ketika itu, tahun ini adalah penganjuran kedua namun pertama kali membabitkan penyertaan negara luar.

“Sebanyak 1,000 lot pameran disediakan untuk usahawan daripada pelbagai peringkat bermula golongan peniaga kecil hingga ke usahawan terkenal dan antarabangsa.

“Lot pameran (booth) ditawarkan bermula dari RM1,500 hingga ke RM20,000 disebabkan kita terpaksa membina struktur bangunan sempena acara itu.” katanya pada Majlis Pra Pelancaran HUN 2025 di ibu negara, baru-baru ini.

Majlis disempurnakan oleh Raja Saidatul Mardiah Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.

Menurut Abu Hassan lagi, pihaknya turut menyeru pembabitan kementerian dan agensi berkaitan dalam memeriahkan pelbagai program menarik yang bakal dianjurkan pihaknya sempena acara itu.

“Kami juga menyeru kerajaan untuk mewartakan Hari Usahawan Negara sama seperti hari istimewa lain Hari Guru, Hari Buruh dan sebagainya untuk membolehkan masyarakat menyambutnya.

“Selain memperingati jasa pengorbanan usahawan dalam berdepan pelbagai cabaran dan dugaan dalam perniagaan.” ujarnya.

Tambah Abu Hassan, pihaknya mahu menjadikan HUN sebagai pentas buat usahawan memperluaskan jaringan ekonomi perniagaan terutama import dan eksport membabitkan produk usahawan dari luar bandar, pelancongan, kebudayaan, makanan warisan, perindustrian, pertanian, pelaburan dan perkhidmatan hingga ke peringkat antarabangsa.

Pelbagai program dan aktiviti menarik bakal diadakan sempena acara itu. Malah pihaknya turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai pada acara yang bermula dari jam 9 pagi hingga 12 malam itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top