'Dr Akmal, Pemuda… teruskan keberanian kamu' – Tok Mat

'Dr Akmal, Pemuda… teruskan keberanian kamu' – Tok Mat

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketegasan Pemuda UMNO menyuarakan isu rakyat dalam konvensyen khas sayap itu baru-baru ini tidak wajar dipandang sebagai biadab, sebaliknya perlu dilihat sebagai peranan semula jadi sayap parti dalam sistem demokrasi.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sememangnya menjadi tanggungjawab Pemuda untuk bertindak sebagai ‘pembingit’ dan bersifat melawan (rebellious) demi memastikan suara rakyat terus didengari, khususnya apabila membabitkan dasar yang menekan kehidupan rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Rembau itu, Pemuda UMNO juga berfungsi sebagai loceng kecemasan kepada parti dan kerajaan apabila wujud isu yang memerlukan perhatian segera.

“Saya tahu Ketua Pemuda, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan barisan Pemuda sudah menjeritkan isu rakyat dalam konvensyen baru-baru ini.

“Ada pihak mengatakan Pemuda biadab, tetapi bagi saya tidak.

“Tugas Pemuda memang sebagai pembingit dan rebellious. Mereka adalah loceng kecemasan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno sempena Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini, malam ini.

Sehubungan itu, Mohamad menggesa Dr Muhamad Akmal dan Pemuda UMNO supaya terus berani dan lantang, seterusnya bertindak sebagai ‘pembangkang konstruktif’ dari dalam kerajaan.

“Jika ada dasar kerajaan yang merugikan orang Melayu atau menekan rakyat, Pemuda perlu bangkit menyanggah terlebih dahulu dan merampas naratif ‘hero rakyat’ daripada pembangkang.

“Buktikan Pemuda UMNO adalah yang paling efektif menjaga kepentingan Melayu, bukan mereka yang hanya pandai bermain sentimen,” katanya.

Dalam ucapannya, Mohamad turut menggariskan peranan Wanita UMNO sebagai ‘ejen ekonomi rumah tangga’ dengan tanggungjawab mengaudit dapur rakyat, termasuk memastikan bantuan kerajaan sampai kepada golongan sasar serta mendesak tindakan segera jika berlaku kenaikan harga barang.

“Biarlah rakyat berkata, parti lain sibuk berpolitik, tetapi bila beras habis, Wanita UMNO yang sampai dahulu,” katanya.

Selain itu, beliau menegaskan peranan Puteri UMNO sebagai ‘jentera perang maya’, khususnya dalam mendekati pengundi muda menerusi platform digital.

“Pengalaman di Sabah mengajar kita bahawa kita tewas di TikTok. Medan perang Puteri kini di skrin telefon.

“Saya mahu Puteri menjadi unit risikan data, mengubah persepsi anak muda, masuk ke kolej dan ruang digital, serta mengangkat isu seperti kesihatan mental dan gaji bermaruah supaya Undi18 melihat UMNO sebagai rakan yang memahami mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top