DR Congo bangkit ikat Portugal 1-1

DR Congo bangkit ikat Portugal 1-1

HOUSTON: Portugal gagal memulakan kempen Kumpulan K Piala Dunia 2026 dengan langkah kanan apabila sekadar seri 1-1 menentang DR Congo dalam aksi mendebarkan di Houston, sebentar tadi.

Skuad Eropah itu tidak menunggu lama untuk membuka jaringan apabila pemain tengah, Joao Neves meledak gol seawal minit keenam menerusi gerakan kemas yang meletakkan Portugal di landasan terbaik memburu tiga mata.

Bagaimanapun, DR Congo yang kembali beraksi di pentas Piala Dunia selepas sekian lama tidak mudah mengalah apabila tampil lebih agresif dan terus memberi tekanan ke arah kubu Portugal.

Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil pada masa kecederaan babak pertama menerusi Yoane Wissa yang tenang menyudahkan peluang untuk menyamakan kedudukan 1-1, sekali gus memadam kelebihan Portugal sebelum kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan.

Memasuki babak kedua, Portugal meningkatkan intensiti permainan dan beberapa kali mengancam gawang lawan, namun benteng pertahanan DR Congo kekal ampuh untuk mengekang setiap asakan.

DR Congo pula sesekali melakukan serangan balas pantas, namun gagal menambah jaringan untuk mencipta kejutan ke atas pasukan pilihan itu.

Keputusan seri itu menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata dalam saingan Kumpulan K yang dijangka berlangsung sengit sehingga aksi terakhir.-AGENSI

Scroll to Top