Dr M tiada hak persoal penyelesaian kes saman, kata Apandi

Dr M tiada hak persoal penyelesaian kes saman, kata Apandi
Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata, beliau merupakan saksi utama dalam kes itu, tetapi tidak dimaklumkan tentang terma penyelesaian di luar mahkamah antara kerajaan dengan Apandi Ali.

PETALING JAYA: Bekas peguam negara, Apandi Ali berkata, Dr Mahathir Mohamad tiada hak mempersoalkan langkah Jabatan Peguam Negara menyelesaikan kes samannya terhadap bekas perdana menteri itu dan kerajaan Malaysia di luar mahkamah.

Ini kerana, jelasnya, Jabatan Peguam Negara yang mewakili kerajaan bersetuju menyelesaikan kes saman yang difailkan beliau berhubung pemecatannya sebagai peguam negara ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

“Bukan dia (Mahathir) berhak setuju (atau) tak setuju (berhubung langkah penyelesaian yang diambil) sebab ini saman terhadap kerajaan dan kerajaan sudah setuju (selesai di luar mahkamah),” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Apandi berkata, ahli Parlimen Langkawi itu seolah-olah mahukan perhatian dengan membangkitkan semula perkara itu, meskipun kes terbabit diselesaikan tiga minggu lalu.

“Yang mewakili kerajaan adalah peguam negara, kalau peguam negara kata macam itu, kena akur, (Mahathir) tiada hak nak persoalkan. Penyelesaian itu sudah lama, sudah tiga minggu lebih, kenapa baru timbul? (Seperti) ‘seek attention’,” katanya.

Jumaat lalu, Mahathir menerusi hantaran Facebooknya terkejut dan tidak bersetuju dengan cara kes saman itu yang diselesaikan di luar mahkamah dan mendakwa beliau tidak dimaklumkan mengenai terma penyelesaian, walaupun merupakan saksi utama dalam kes itu.

Susulan itu, Peguam Negara, Idrus Harun dilaporkan berkata, beliau telah memaklumkan Mahathir mengenai terma penyelesaian berkaitan saman itu.

“Saya hanya boleh mengesahkan bahawa Tun (Mahathir) menulis baru-baru ini untuk mendapatkan maklumat mengenai syarat penyelesaian. Saya sudah menjawab untuk memaklumkan kepadanya syarat penyelesaian,” katanya kepada Bernama pada Sabtu lalu.

Pada 13 April lepas, Mahkamah Tinggi membatalkan saman itu selepas kerajaan bersetuju menyelesaikan kes tersebut tanpa sebarang pengakuan liabiliti dan terma penyelesaian tidak boleh didedahkan.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 18, 20, 21 dan 22 April lalu untuk perbicaraan kes saman tersebut.