KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) akan menandatangani perjanjian (MoU) dua buku terbitan Pusat Penerbit UPM hari ini.
Majlis itu yang diadakan sempena Persidangan Industri Kreatif Kebangsaan 2021 akan disaksikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad di Dewan Tun Hussein Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, pada jam 2.30 petang.
MoU UPM dan YPBN itu membolehkan aktiviti penulisan serta projek kolaborasi yang diadakan melalui perjanjian itu akan memberi manfaat kepada kedua pihak.
Dua buku berkenaan, iaitu Impak Covid-19 dan Prakarsa UPM yang disunting Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain dari Fakulti Ekologi Manusia (FEM)/Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM; Prof. Dr. Azmawani Abd. Rahman, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), UPM; dan Prof. Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan, Fakulti Kejuruteraan/ Pusat Penerbit UPM.
Ia adalah antara usaha bersepadu UPM bagi menangani penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula Mac 2020.
Usaha berstrategik itu menyantuni pelbagai aspek dengan kerjasama semua pusat tanggungjawab atau PTJ di UPM.
Permuafakatan menangani cabaran pandemik wajar didokumentasikan agar menjadi rujukan dan panduan kepada UPM khususnya jika berlaku pandemik atau bencana pada masa akan datang.
Buku itu menganalisis usaha dan insitiatif yang dijayakan oleh pihak UPM seperti pengurusan risiko, komunikasi krisis, pasukan bertindak kecemasan, pendigitalan dalam pembelajaran dan pengajaran, pengurusan kebajikan pelajar, inovasi, advokasi awam dan putra bakti.
Apa yang jelas, usaha dan inisiatif itu bukan sahaja bermatlamatkan untuk mengekang penularan pandemik dalam kalangan warga UPM, tetapi memastikan kelangsungan dan keteguhan institusi dapat dilestarikan.
Buku itu sangat bermanfaat sebagai perkongsian amalan terbaik bukan sahaja untuk warga UPM, tetapi IPT di Malaysia jika berlaku impak penularan pandemik lain pada masa akan datang.
Persidangan Industri Kreatif Kebangsaan 2021 yang berlangsung selama tiga hari itu turut mengadakan Anugerah Buku Negara dan Anugerah Telenovela Award 2020- 2021.
Sementara itu, buku English For Kids Level 1 – 4 oleh Prof. Vijayaletchumy Subramaniam dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) English for Kids adalah siri yang terdiri daripada empat buku memperkenalkan huruf, fonik, penulisan dan pemahaman.
Siri itu telah dikembangkan untuk membantu kanak-kanak belajar bahasa Inggeris secara sistematik dari peringkat pemula, pertengahan dan lanjutan. – MalaysiaGazette




