Dr Roziah dilantik Presiden UniKL

Dr Roziah dilantik Presiden UniKL

safeek@bh.com.my

KUALA LUMPUR: MARA mengumumkan pelantikan ahli akademik dan penyelidik, Datuk Dr Roziah Omar, sebagai Presiden Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata pelantikan Roziah dibuat berdasarkan kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan pencapaian beliau yang pernah memegang beberapa jawatan utama sebelum ini sama ada pada peringkat nasional mahupun antarabangsa.

“MARA yakin beliau akan memacu kecemerlangan UniKL ke tahap lebih tinggi, sekali gus memastikan visi untuk menjadi sebuah universiti keusahawanan teknikal terunggul dalam negara melalui kecemerlangan dalam penyelidikan, pendidikan, latihan keusahawanan, konsultasi dan khidmat masyarakat tercapai.

“Saya yakin Presiden UniKL yang dilantik ini mempunyai ketokohan, keupayaan, kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang pendidikan, sekali gus dapat menjalankan tugas sebaiknya serta dapat memperkukuhkan lagi kedudukan dalam senarai universiti terbaik di Asia dan dunia,” katanya.

Roziah berkelulusan ijazah sarjana muda dari Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM) pada 1980.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran peringkat sarjana dan kedoktoran di Amerika Syarikat (AS). Pada 1992, beliau dianugerahkan ijazah kedoktoran dari Universiti of California, Barkeley (AS).

Selain itu, beliau juga menghadiri kursus di Universiti Harvard pada 2003 dan Judge Bussiness School, Cambridge University, pada tahun 2014.

UniKL adalah institusi pendidikan milik penuh MARA yang memiliki 13 kampus di seluruh negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top