norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi veteran yang kini pendakwah bebas, Dr Sam, 72, menyifatkan program Geng Subuh Macam Jumaat yang dilaksanakan penyanyi, pelakon dan pengacara, Alif Satar adalah tindakan murni daripada selebriti muda.
Dr Sam atau nama sebenarnya Salim Ibrahim yang cukup dikenali dengan lagu Saya Anak Malaysia berkata, dia berasa gembira dan berbesar hati dengan inisiatif dibuat oleh Alif dalam usaha mengajak orang ramai datang ke masjid solat berjemaah.
“Saya tahu program itu (Geng Subuh Macam Jumaat). Memang satu inisiatif sangat bagus dilakukan, tetapi semoga lebih menyeluruh lagi selepas ini.
“Maksud saya, bukan hanya Geng Subuh Macam Jumaat saja, namun dibuat juga untuk waktu solat lain iaitu Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. Barulah lengkap lima waktu.
“Mendirikan solat ini adalah tiang agama dalam Islam serta perintah daripada Allah SWT. Jadi, pada saya apa yang dibuat itu (oleh Alif) sudah baik, namun harus diperluaskan lagi,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui baru-baru ini.
Ditanya juga mengenai kesihatan dirinya yang masih sihat dan bertenaga, Dr Sam memberitahu dia akan terus menyampaikan dakwah selagi diberikan kekuatan oleh Allah.
“Pada usia saya sekarang yang sudah 72 tahun, memang sangat bersyukur masih sihat dan dapat melakukan dakwah lagi. Cuma, kalau nak berjalan dah kenalah pakai tongkat.
“Sebab, kaki kanan saya ini pun ada membengkak sedikit dan sudah mendapatkan rawatan di klinik. Bagaimanapun, bila faktor usia yang begini, faham-fahamlah,” katanya.
Ujar Dr Sam, dia reda dengan kaki bengkak dialami itu asalkan tetap masih boleh solat kerana baginya kesakitan adalah lumrah kehidupan sebagai manusia biasa.
Pada perkembangan lain, Dr Sam teruja untuk terbabit dalam Perkampungan Tauheed 2.0: Seni, Dakwah. Perpaduan di Masjid Al- Falah, Jenjarom Klang, Selangor pada 4 hingga 6 Julai ini.
Katanya, dia sangat berharap program itu akan mendapat sambutan baik daripada orang ramai terutama golongan muda kerana banyak aktiviti pengisian kerohanian disediakan.
Difahamkan juga antara aktiviti kerohanian itu ialah Forum Perdana, Slot Motivasi Wanita, Qiamullail, Sukan Sunnah, Explorace Anak Soleh, Rehlah Islahiyyah dan persembahan artis.
Selain Dr Sam, barisan penyanyi lain yang turut serta nanti ialah Mawi, Iwan Syahman, Ali XPDC, Amir Pearl, Faizal Ismal, Ustaz Akil Hayy, Fynn Jamal dan ramai lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd