PETALING JAYA: Prof Dr. Sufian Jusoh dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baharu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai semalam.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, Sufian, 57, merupakan pakar dalam bidang integrasi ekonomi multilateral dan serantau serta undang-undang antarabangsa.
Menurutnya, Naib Canselor UKM yang baharu itu memulakan pengajian tertiari di University of Wales dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian.
“Seterusnya, pada 2003 beliau telah melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang yang sama di University College London.
“Minat beliau yang mendalam terhadap bidang perundangan telah mendorong beliau untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan berjaya memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Undang-undang Ekonomi Antarabangsa dan mendapat pengiktirafan peringkat tertinggi dari University of Bern, Switzerland pada tahun 2010,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, KPT berkata, Sufian mempunyai pengalaman sebagai Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), UKM selama lebih dari tujuh tahun bermula 2018.
Jelasnya, Sufian diberi kepercayaan untuk mengetuai Projek Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN 2025 dan Keberhasilan Utama Ekonomi Sempena Kepengerusian Malaysia ASEAN 2025.
“Selain itu, beliau juga adalah Perwakilan Malaysia bagi Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA), Research Institute Network bagi tempoh tiga tahun bermula 2022,” katanya.
Sehubungan itu, KPT berkata, pihaknya yakin pelantikan Sufian sebagai Naib Canselor UKM bakal meneruskan kesinambungan pemerkasaan pembangunan akademik dan penyelidikan yang berteraskan acuan nasional
“Serta melahirkan graduan yang berdaya saing, kreatif dan inovatif serta mempunyai jati diri yang tinggi,” katanya. – UTUSAN