'Dragon Boy' kembali hangatkan Cub Prix

'Dragon Boy' kembali hangatkan Cub Prix

sukhairi@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kasma Daniel Kasmayudin kembali menghangatkan Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2021 apabila kembali ke pangkuan pasukan lamanya, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor.

Kasma yang digelar ‘Dragon Boy’ diumum antara tiga pelumba yang bakal menggalas cabaran pasukan dalam kelas CP150 dalam perlumbaan yang akan membuka tirainya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Selatan dari 20 hingga 21 Mac ini.

Dua lagi pelumba yang bergandingan bersama Kasma dalam pasukan yang pernah memenangi lebih 10 gelaran juara sejak 1997 itu adalah Muhd Haziq Fairues dan Nazirul Izzat Bahauddin.

“Saya mengambil keputusan untuk meneruskan karier perlumbaan saya dan saya tidak sabar beraksi semula dalam gelanggang Cub Prix dan Kejuaraan Motosikal Asia,” kata Kasma yang sebelum ini muncul juara sulung bagi kelas CP150 sejak mula diperkenalkan pada 2017.

Malah, pelumba berusia 21 tahun dari Johor Bahru itu turut berada dalam senarai sejarah Cub Prix apabila pernah muncul juara dalam tiga kelas berbeza secara berturut-turut bermula dengan juara CP115 pada 2015, CP130 (2016) dan CP150 tahun berikutnya.

Kejayaan diraih Kasma itu mendorong dirinya mencuba nasib di kejuaraan lebih tinggi iaitu dalam saingan Kejuaraan CEV Eropah pada 2018 sebelum melangkah ke Kejuaraan Motosikal Dunia pada 2020.

“Mungkin ramai yang bakal memberikan pandangan negatif terhadap keputusan saya ini, tetapi bagi saya keputusan ini wajar kerana ia akan membenarkan saya untuk terus menjadi seorang pelumba profesional,” kata Kasma.

Pasukan turut mengumumkan juara bertahan CP125, Syafiq Rosli akan terus menggalas cabaran dalam kelas sama musim ini, bergandingan bersama Aliff Daniel.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top