PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia terutama di kawasan bandar bakal menikmati pengalaman membeli-belah, Sandbox melalui penghantaran menggunakan dron.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam satu kenyataan memaklumkan, projek terbabit dilancarkan dengan kerjasama cabang logistik AirAsia Digital, Teleport serta Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), selaku Sekretariat Utama Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS).
“Ia menggunakan perkhidmatan penghantaran pesanan dari platform e-dagang, AirAsia termasuk AirAsia Shop dengan menggunakan dron automatik yang akan dilaksanakan melalui pendekatan bertahap selama enam bulan di tapak ujian NTIS ketiga di Cyberjaya.
“Perkhidmatan ini masih dalam peringkat ujian oleh dua pengendali dron tempatan, VStream Revolution Sdn Bhd dan Meraque Services Sdn Bhd.
“Fasa pertama projek di Cyberjaya ini bertujuan menilai keupayaan, pengalaman, proses
kelulusan, kesediaan dron dan pengembangan perkhidmatan oleh pengendali dron,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan melalui Facebook rasmi kementerian itu, hari ini.
Kenyataan itu juga menyebut, perkhidmatan berkenaan dijangka dilancarkan setelah fasa percubaan berjaya dan mungkin diperluas di luar persekitaran sandbox.
“Sebagai pusat penyelarasan dan pemudahcara penyelesaian nasional, NTIS menyediakan langkah kritikal dengan memberi kelonggaran kepada proses terpilih atau keseluruhan atau keperluan kawal selia untuk mempercepat pembangunan penyelesaian inovatif daripada peringkat penyelidikan dan pembangunan kepada peringkat yang sedia untuk dikomersialkan.
“Dalam merealisasikan projek ini, NTIS bekerjasama rapat dengan satu-satunya pengawal selia teknikal di Malaysia iaitu Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk memastikan aspek keselamatan bagi perkhidmatan kenderaan udara tanpa pemandu di kawasan bandar memenuhi keperluan dan peraturan seperti yang ditetapkan oleh CAAM.
“Ini juga untuk memastikan keselamatan awam kekal menjadi keutamaan tertinggi selain memudahkan kemajuan teknologi,” katanya.
Sementara itu, Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya bersedia menjadi peneraju utama dalam industri teknologi dron (DroneTech) yang dijangka menjana USD127 bilion menjelang 2025.
“Saiz pasaran global khusus untuk penghantaran pesanan melalui drone berjumlah USD642.4 juta pada tahun 2019, dan diunjurkan untuk mencapai USD7.388 bilion pada tahun 2027.
“Perkhidmatan penghantaran melalui dron juga dapat diperluas dan ditingkatkan dalam pelbagai sektor selain e-dagang, seperti penhantaran bekalan penting atau perubatan ke kawasan luar bandar, terpencil, atau yang terjejas oleh bencana alam,” katanya. – UTUSAN ONLINE




