PENGEDALI skuad Bawah 15 tahun (B-15) negara, Noor Zaidi Rohmat menyifatkan penggunaan teknologi dron semasa sesi latihan antara faktor utama membantu mempercepatkan pemahaman pemain terhadap konsep serta model permainan pasukan sepanjang kempen Kejohanan Emerging Socceroos B-15 2025 di Melbourne, Australia itu.
Menurut beliau, meskipun skuad Harimau Muda hanya menjalani persiapan dalam tempoh yang singkat sebelum kejohanan, keupayaan pemain untuk menyesuaikan diri dengan taktikal serta perancangan pasukan wajar dipuji.
“Cara permainan antara yang kami puas hati. Walaupun dengan masa persiapan yang agak terhad, pemain cepat faham dengan konsep dan model permainan kami berkat bantuan rakaman dron semasa latihan.
“Mereka bukan sahaja berani dan yakin untuk bermain seperti yang direncanakan, malah turut memperagakan karakter serta sikap melawan yang tinggi di atas padang,” katanya kepada Sukan Sinar.
Sebagai rekod, anak buah Noor Zaidi menamatkan kempen di tempat ke-10 keseluruhan daripada 16 pasukan bertanding pada 11 Julai lalu, dalam edisi sulung kejohanan yang turut menampilkan jemputan antarabangsa buat kali pertama oleh penganjur, Football Australia.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub turut hadir memberi sokongan kepada skuad Harimau Muda B-15 di Melbourne, Australia itu.
Mengulas lanjut mengenai prestasi keseluruhan pasukan, Noor Zaidi menegaskan aspek kecergasan dan kepantasan membuat keputusan (decision making) masih ada ruang yang perlu diperbaiki namun beliau bersama barisan kejurulatihan berasa bangga dengan semangat juang yang ditunjukkan para pemain muda negara.
“Mereka berpeluang menyertai kejohanan kompetitif yang cukup mencabar, apatah lagi beraksi dalam cuaca sejuk serendah empat darjah Celsius.
“Ditambah pula dengan faktor fizikal pasukan lawan yang lebih besar dan tinggi, namun pemain tetap menunjukkan keberanian serta semangat melawan yang luar biasa,” ujarnya.
Menurut beliau, antara objektif utama penyertaan kali ini adalah untuk mengenal pasti pemain terbaik berusia bawah 15 tahun dari seluruh negara, termasuk dari Sabah, Sarawak dan Labuan, selain memberi pendedahan awal di pentas antarabangsa.
“Walaupun penyertaan ini dilihat sebagai platform pembangunan, saya tetap menekankan bahawa setiap pemain perlu ada mentaliti kemenangan.
“Mereka harus sedar, setiap kali menyarung jersi kebangsaan, mereka bukan sahaja membawa nama sendiri, tetapi juga maruah negara,” tegas beliau.
Mengenai perancangan pasukan selepas kejohanan, Noor Zaidi memaklumkan bahawa belum ada sebarang kejohanan baharu yang dijadualkan dalam masa terdekat, namun beliau akan terus memantau bakat baharu di seluruh negara.
“Saya akan terus meneliti dan mengenal pasti pemain-pemain berpotensi bawah 15 tahun dari semua negeri termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan untuk dibimbing ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
INFO
KEJOHANAN EMERGING SOCCEROOS 2025
KUMPULAN D
Harimau Muda B-15 0-2 Victoria White
Harimau Muda B-15 1-1 Capital Football
Harimau Muda B-15 1-1 Queensland Maroon
* Harimau Muda B-15 menduduki tempat ketiga dalam peringkat kumpulan dan mara ke Playoff Penentuan Tempat Kesembilan hingga ke-16.
SUKU AKHIR PLAYOFF
Harimau Muda B-15 5-0 Tasmania
SEPARUH AKHIR PLAYOFF
Harimau Muda B-15 2-2 Northern New South Wales
* Harimau Muda B-15 menang penentuan sepakan penalti 3-2
PENENTUAN TEMPAT KESEMBILAN KE-10
Harimau Muda B-15 1-1 Queensland White
* Harimau Muda B-15 tewas penentuan sepakan penalti 3-5 untuk mengakhiri cabaran Kejohanan Emerging Socceroos 2025 tempat ke-10 dalam 16 pasukan di Home of The Matildas, Melbourne, Australia.
Â
Â