Dron 'perhati' pemandu degil potong garisan berkembar dalam Op Didik

Dron 'perhati' pemandu degil potong garisan berkembar dalam Op Didik

am@hmetro.com.my

Ranau: Tindakan pemandu memotong di garisan berkembar akhirnya ‘kantoi’ apabila dipantau menggunakan dron dalam Op Didik yang dijalankan di Jalan Ranau-Tamparuli, di sini, semalam.

Operasi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau itu dijalankan di Kilometer (KM) 3 dan KM 9 dengan penempatan anggota di dua lokasi berasingan bagi memantau pergerakan kenderaan secara serentak.

Ketua Polis Daerah Ranau Superintendan Mursalin Mahmud berkata, penggunaan dron membantu pihaknya mendapatkan gambaran udara secara langsung sekali gus memudahkan pengesanan kesalahan lalu lintas.

“Antara kesalahan dikesan termasuk memotong di garisan berkembar, melanggar peraturan lalu lintas dan pemanduan berbahaya.

“Hasil operasi, lima saman dikeluarkan atas kesalahan memotong di garisan berkembar yang boleh dikompaun sehingga RM300,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tindakan lebih tegas juga boleh diambil mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, operasi itu dilaksanakan bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya terutama membabitkan kes maut selain meningkatkan kesedaran pengguna supaya mematuhi undang-undang.

“Polis Ranau menggunakan kod ‘Op Didik’ dengan pendekatan teguran halus yang membina. Kita usahakan untuk mengurangkan kemalangan akibat memotong di garisan berkembar melalui pendekatan mendidik bagi mengubah sikap pengguna jalan raya.

“Penggunaan teknologi seperti dron terbukti berkesan dalam membantu penguatkuasaan dan kita akan terus melaksanakannya dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pendekatan itu diharap lebih berkesan apabila orang ramai semakin terbuka menerima teguran berbanding kaedah ‘menggertak’.

“Melalui Op Didik, konsep perhati, tegur dan ubah sikap diketengahkan bagi memastikan pengguna jalan raya benar-benar memahami risiko serta bertanggungjawab ketika memandu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top