Dua aksi awal penentu hala tuju Speedy Tigers

Dua aksi awal penentu hala tuju Speedy Tigers
Ketua Jurulatih Hoki Lelaki Kebangsaan, Sarjit Singh bercakap kepada media ketika Majlis Memperkenalkan dan Penyerahan Kenderaan Rasmi Kejohanan Hoki di Bermaz Auto Berhad pada Rabu. Foto Bernama

Ketua Jurulatih Hoki Lelaki Kebangsaan, Sarjit Singh bercakap kepada media ketika Majlis Memperkenalkan dan Penyerahan Kenderaan Rasmi Kejohanan Hoki di Bermaz Auto Berhad pada Rabu. Foto Bernama

KETUA jurulatih skuad hoki lelaki negara, Sarjit Singh menegaskan bahawa dua perlawanan awal menentang Pakistan dan New Zealand bakal menjadi penentu hala tuju pasukannya dalam Kejohanan Piala Negara-Negara 2025 di laman sendiri yang bermula hujung minggu ini.

Menurut Sarjit, kemenangan dalam kedua-dua aksi pembukaan tersebut mampu membuka laluan ke separuh akhir, namun menegaskan tiada pasukan yang akan memberi laluan mudah.

“Jika kita berjaya menang dua perlawanan awal, laluan ke separuh akhir akan terbuka.

“Tapi saya yakin semua pasukan mempunyai keazaman yang sama,” katanya ketika ditemui media semasa majlis penyerahan 10 kenderaan Mazda oleh Bermaz Auto kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) di Shah Alam pada Rabu.

Kenderaan tersebut akan digunakan oleh pegawai-pegawai kejohanan sepanjang Piala Negara-Negara yang berlangsung dari 15 hingga 21 Jun ini.

Sebagai persiapan terakhir, Malaysia akan menentang Wales dalam satu perlawanan pemanas badan pada Jumaat ini di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Perlawanan itu dianggap sebagai ujian penting sebelum memulakan kempen rasmi hujung minggu ini.

Sarjit berkata, kesemua 20 pemain yang disenaraikan akan diturunkan bagi menguji keserasian dan prestasi terkini mereka, selepas dua siri jelajah ke Australia dan Korea Selatan sebelum ini.

“Ini peluang terakhir untuk kita menilai tahap kesediaan semua pemain. Motivasi mereka berada pada tahap tinggi dan saya lihat hubungan serta kefahaman dalam pasukan semakin mantap setelah lebih setahun bersama,” tambah beliau.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Pakistan, New Zealand dan Jepun, manakala Kumpulan A dibarisi Perancis, Afrika Selatan, Korea Selatan dan Wales.

Untuk rekod, Speedy Tigers menamatkan edisi terdahulu di Gniezno, Poland di tangga ketujuh.

Scroll to Top