Munich: Jerman yang kembali berada dalam landasan tepat untuk mara ke Piala Dunia 2026 akan meneruskan misi untuk menguasai Kumpulan A apabila berkunjung ke negara jiran, Luxembourg, awal pagi Sabtu ini.
Mendahului kumpulan atas kelebihan perbezaan jaringan, Die Nationalelf dijangka bersaing sengit dengan Slovakia untuk tempat automatik ke Piala Dunia, namun ketua jurulatih Julian Nagelsmann masih kehilangan beberapa pemain utama menjelang penentuan bulan ini.
Antara pemain masih tidak dapat diturunkan ialah Kai Havertz, Jamal Musiala dan Marc-André ter Stegen yang lama mengalami kecederaan, disertai pula oleh Nadiem Amiri, Antonio Rüdiger dan penyerang West Ham United, Niclas Füllkrug.
Sementara itu, pertahanan utama Nico Schlotterbeck diragui dapat beraksi. Sekiranya dia gagal melepasi ujian kecergasan, Waldemar Anton dan Malick Thiaw dijangka bersaing untuk bergandingan dengan Jonathan Tah di pertahanan tengah, manakala David Raum akan memulakan permainan di posisi kiri.
Kapten Joshua Kimmich yang dijangka terus beraksi di posisi bukan pilihan utamanya di bek kanan, menjaringkan dua gol dalam perlawanan pertama menentang Luxembourg tetapi bintang Bayern Munich itu akan diberi kebebasan untuk bergerak ke hadapan.
Menjelang aksi penting menentang Slovakia pada Selasa depan, Nagelsmann mungkin akan membuat beberapa perubahan kecil pada pasukan yang menewaskan Ireland Utara baru-baru ini tetapi beliau dijangka tetap menurunkan kesebelasan utama yang kuat.
Penyerang Newcastle United, Nick Woltemade kini kelihatan semakin mengukuhkan tempatnya di posisi penyerang utama selepas menjaringkan satu-satunya gol kemenangan di Belfast menyebabkan Jonathan Burkardt mungkin perlu berpuas hati bermula di bangku simpanan.
Dengan Musiala masih belum cergas sepenuhnya, Florian Wirtz dijangka terus mendapat kepercayaan jurulatih walaupun masih bergelut menyesuaikan diri dengan bola sepak Inggeris selepas meninggalkan Bayer Leverkusen untuk menyertai Liverpool.
Serge Gnabry dan Karim Adeyemi menjadi pilihan utama untuk mengisi bahagian serangan bersama dua pemain Liga Perdana Inggeris itu, namun pemain sayap Galatasaray, Leroy Sané yang baru dipanggil semula, juga merupakan calon kuat untuk diturunkan.
Sementara itu, di bahagian tengah, pasangan Bayern Munich, Leon Goretzka dan Aleksandar Pavlović, dijangka mengekalkan tempat mereka manakala Felix Nmecha menjadi pilihan paling berpotensi sekiranya Nagelsmann mahu menyegarkan semula jentera tengahnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




