BEIRUT: Indonesia pada Jumaat mengesahkan dua pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) negara itu cedera dalam serangan Israel di Lubnan, dan menggelar serangan itu sebagai melanggar undang-undang antarabangsa.
Pasukan pengaman PBB berkata, tentera Israel telah melepaskan tembakan ke arah ibu pejabat mereka di selatan Lubnan, dan mencederakan dua anggota pasukan pengaman sebelum tindakan itu mencetuskan kecaman pelbagai pihak.
Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi berkata, dalam serangan ke atas menara di Naquora, dua kakitangan telah cedera, dan mereka merupakan kakitangan yang berasal dari negara itu, lapor Al Arabiya.
“Kedua-dua pasukan pengaman itu mengalami kecederaan ringan dan berada di hospital untuk pemerhatian lanjut.
“Indonesia mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu. Menyerang kakitangan dan harta benda PBB merupakan pelanggaran besar Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Israel mendakwa mereka menyasarkan kumpulan pejuang Hizbullah berhampiran pos PBB dalam operasi yang dilakukan, selepas misi pengaman itu menolak tuntutan Israel untuk ‘berpindah’ dari beberapa kedudukannya.
Justeru, Retno menyeru semua pihak untuk memastikan penghormatan terhadap wilayah PBB pada setiap masa dan dalam semua keadaan.
Indonesia yang merupakan pengkritik tegar Israel dan penyokong Palestin mempunyai kira-kira 1,232 kakitangan yang kini ditempatkan bersama misi Pasukan Tentera Sementara PBB di Lubnan (UNIFIL).
UNIFIL ketika ini mempunyai kira-kira 10,000 pasukan pengaman yang ditempatkan di selatan Lubnan. -Agensi/– HARAKAHDAILY 11/10/2024









