Dua babak paling beri kesan dalam hidup ketika ayah nazak – Sharnaaz

Dua babak paling beri kesan dalam hidup ketika ayah nazak – Sharnaaz

georgie@hmetro.com.my

Di sebalik teruja filem Magik Rompak memasuki pawagam, memori perjalanan menjayakan filem itu sarat dengan kepahitan yang tidak mudah untuk dilupakan pelakon, Sharnaaz Ahmad, 40.

Sharnaaz atau nama sebenarnya diduga ujian terbesar dalam hidupnya apabila kehilangan bapa tercinta ketika menjalani penggambaran filem itu.

Baginya, filem arahan Adrian Teh itu penuh makna dan cerminan babak realiti menguji ketabahan emosi dan mentalnya. Juga, tuntutan profesionalisme sebagai seorang pelakon.

“Sejujurnya, saya agak berat untuk bercerita mengenai filem ini. Pertama sekali, ia menggamit semula memori saya kurang baik, dan itu perkara yang sukar.

“Keduanya kerana ayah saya jatuh sakit dan kemudiannya meninggal dunia sewaktu saya masih terikat dengan komitmen penggambaran filem ini,” katanya.

Pendedahan ikhlas itu dibuat Sharnaaz ketika dia berkongsi cabaran terbesar dihadapinya sepanjang proses pembikinan filem berkenaan.

Ujian getir itu bermula ketika dia giat menjalani sesi latihan fizikal penting untuk persediaan wataknya sebagai Hadi. Ketika itu dia menerima perkhabaran duka mengenai keadaan kesihatan bapanya.

Situasi terbabit buat dirinya tertekan. Jasadnya perlu berada di lokasi penggambaran untuk menyempurnakan tugas, namun fikiran dan hatinya terbang jauh memikirkan bapa tercinta.

“Ketika sesi latihan yang sangat penting untuk watak saya, saya dapat tahu ayah sedang sakit. Jadi pada waktu itu, niat saya hanya untuk selesaikan kerja semata-mata.

“Walaupun saya berada di set, tetapi fikiran saya sebenarnya langsung tiada di situ. Setiap masa, saya hanya ulang-alik dari rumah ke lokasi penggambaran dengan hati berat,” katanya.

Menurut Sharnaaz, ada dua babak spesifik filem itu yang meninggalkan kesan amat mendalam kerana ia dirakam ketika dia berada di kemuncak tekanan emosi.

Babak pertama ketika wataknya berdiri di atas sebuah kontena manakala kedua babak imbas kembali di mana dia tampil dengan gaya rambut panjang.

Kedua-dua babak ini dirakam pada detik-detik kritikal dalam hidupnya. Ekspresi dan lakonan dipaparkan adalah terjemahan langsung daripada gelora kesedihan yang dialaminya ketika itu.

Sharnaaz mengakui dirinya seolah-olah berfungsi tanpa sedar ketika melakonkan babak terbabit. Emosi ditonjol bukan lakonan semata-mata, tetapi manifestasi sebenar kesedihan dirasainya.

“Untuk babak di atas kontena, ketika itu saya baru dapat khabar ayah saya nazak. Satu lagi babak imbas kembali di mana babak itu pula dirakam dua hari selepas dia meninggal dunia.

“Jadi, reaksi dipamer dalam babak itu adalah 100 peratus semula jadi. Saya benar-benar bekerja dalam keadaan seperti ‘autopilot’ kerana emosi saya amat terganggu.

“Walaupun filem ini karya yang bagus dan tiada masalah, tetapi setiap kali saya menontonnya semula, saya pasti teringat kembali kenangan pahit itu. Itulah cabaran terbesar saya,” katanya.

Namun, Sharnaaz beruntung Adrian menunjukkan keprihatinan luar biasa. Dia tegas mendesak Sharnaaz untuk segera pulang ke sisi keluarganya pada waktu getir membabitkan bapanya.

Walaupun keputusan itu membabitkan kerugian produksi dianggarkan mencecah RM100,000 pada hari berkenaan namun kebajikan pelakonnya jauh lebih didulukan.

“Saya tidak pasti sama ada saya akan berjumpa lagi insan sepertinya. Apabila saya maklumkan keadaan ayah saya, dia bertegas menyuruh saya pulang. Tindakannya itu menyebabkan kerugian produksi yang besar.

“Saya masih ingat kata-katanya, dia cakap, ‘Kalau dia tidak benarkan saya pulang, dia akan menyesal seumur hidup’. Kata-katanya itu benar, kerana saya hanya sempat bersama ayah untuk seketika saja.

“Ketika saya tiba di sisinya, dia sudah tidak sedarkan diri. Pengorbanan Adrian memberi saya peluang terakhir itu dan saya amat terhutang budi padanya,” katanya.

Pengalaman getir dilaluinya itu adalah sebahagian realiti dan harga perlu dibayarnya sebagai anak seni. Dalam pada meraih sanjungan kerana lakonan hebat atau kejayaan filem, pancarobanya siapa tahu.

Menurutnya, apa yang dipaparkan di layar perak atau kaca televisyen hanyalah produk akhir sudah digilap. Perjalanan di sebalik tabir yang penuh dengan pengorbanan emosi dan fizikal sering kali tidak diketahui umum.

“Orang ramai tidak akan bertanya apa yang kami lalui di sebalik pembikinan filem. Penonton tidak akan tahu betapa sukarnya perjalanan dilalui seseorang untuk menghasilkan sesebuah karya.

“Sejujurnya, kami pun tidak mahu berkongsi semua kisah itu kerana tidak perlu diketahui umum. Susah dan senang kami, kami tidak mahu kongsi semuanya. Tetapi, yang orang ramai nampak hanya kesenangan kami,” katanya.

Sharnaaz turut mempersoalkan persepsi sesetengah pihak hanya melihat sisi glamor kehidupan seorang selebriti. Anak seni juga berhak menikmati hasil titik peluh selepas melalui pelbagai kesukaran.

Namun berbelas tahun dalam industri menjadikannya jauh lebih matang dalam mengemudi kerjaya dan kehidupannya. Dia memilih menerima segala kritikan dan cabaran dengan hati terbuka.

“Salahkah jika kami mahu menikmati kesenangan itu untuk seketika? Hakikatnya, kesusahan kami amat berat, kesedihan kami amat dalam, dan dalam keadaan paling sedih itu pun kami masih perlu terus bekerja.

“Jika ada yang mahu memaki kita, telan sahaja. Tiada gunanya melawan kembali kerana ia tidak akan mendatangkan hasil. Jadi, lebih baik kita jadikan ia bahan jenaka,” katanya.

Magik Rompak mula ditayangkan di pawagam sejak Khamis lalu. Selain Sharnaaz, filem itu membariskan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Amelia Henderson dan Nadhir Nasar.

Turut berlakon, Miller Khan, Fabian Loo, Yasmin Hani, Tay Ping Huy, Datin Elvina Mohamad dan ramai lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top