Dua bekas jurulatih Liverpool sertai City

Dua bekas jurulatih Liverpool sertai City

London: Manchester City mengesahkan pelantikan dua bekas jurulatih Liverpool, termasuk bekas penolong Jurgen Klopp, Pepijn Lijnders, bagi memperkukuh barisan kejurulatihan Pep Guardiola menjelang musim baharu.

Lijnders, 42, yang pernah berkhidmat di bawah Brendan Rodgers dan Klopp di Anfield, akan menyertai City bersama jurulatih pakar sepakan set piece, James French, yang berkhidmat selama 13 tahun bersama Liverpool.

Kedua-dua pelantikan ini dibuat susulan pengunduran tiga anggota kejurulatihan Guardiola sebelum ini.

Lijnders meninggalkan Liverpool bersama Klopp pada penghujung musim 2023/24 dan kemudian menerima jawatan sebagai ketua jurulatih Red Bull Salzburg, namun dipecat pada Disember tahun sama.

Pengarah Bola Sepak City, Hugo Viana berkata: “Pepijn dan James memiliki pengalaman luas dalam bidang masing-masing. Bakat, etika kerja dan komitmen mereka amat selari dengan nilai bola sepak yang dibawa Pep.”

Musim 2024/25 menyaksikan skuad The Citizens berdepan musim mengecewakan apabila menamatkan saingan di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris dan gagal meraih sebarang trofi buat kali pertama dalam tempoh lapan tahun.

Bagaimanapun, City masih akan tampil dalam saingan Piala Dunia Kelab yang diperluas kepada 32 pasukan di Amerika Syarikat sebagai juara bertahan, selepas memenanginya dua tahun lalu ketika ia diadakan di Arab Saudi.

Kempen mereka dijadual bermula pada 19 Jun ini menentang kelab Maghribi, Wydad Casablanca di Philadelphia, empat hari selepas kejohanan bermula secara rasmi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top