Dua beradik cedera terlibat kemalangan tujuh kereta – Utusan Digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

GEORGETOWN: Dua beradik cedera ringan apabila kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki mereka terlibat dalam  kemalangan membabitkan tujuh buah kenderaan  di Jalan Bukit Gambir, di sini malam ini.

Kedua-dua wanita berusia 28 dan 30 tahun itu dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) oleh pasukan EMRS bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, A’Azelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 8.08 malam dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

Menurutnya, sebaik sahaja pasukan bomba tiba di tempat kejadian didapati hanya terdapat lima buah kereta di lokasi tersebut.

“Kejadian dilaporkan berlaku apabila sebuah kereta jenis BMW dikatakan hilang kawalan lalu masuk ke jalan bertentangan sebelum terbalik.

“Kejadian itu mengakibatkan enam buah kereta yang berada di lokasi berkenaan rosak akibat rempuhan tersebut selain menyebabkan dua wanita yang menaiki kereta Perodua Viva cedera ringan,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Beliau memberitahu, pemandu kereta BMW bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan operasi menyelamat tamat sepenuhnya pukul 8.56 malam ini.

Sementara itu, kejadian kemalangan tersebut turut menyebabkan berlaku kesesakan di kedua-dua belah arah menuju ke pusat bandar dan Gelugor. – UTUSAN ONLINE