
Dua beradik masing-masing berusia 12 dan 14 tahun itu mendakwa bapa tiri mereka sering pulang dalam keadaan mabuk dan mencabul mereka secara seksual. Foto hiasan
LUCKNOW – Seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan selepas dua anak tirinya yang masih bawah umur menuduhnya melakukan serangan seksual.
Dua beradik masing-masing berusia 12 dan 14 tahun itu mendakwa bapa tiri mereka sering pulang dalam keadaan mabuk dan mencabul mereka secara seksual.
Mereka turut mendakwa telah dicabul selama berbulan-bulan, namun ibu mereka enggan mempercayai tuduhan berkenaan.
Apabila dimaklumkan mengenai pencabulan itu, ibu mangsa menolak dakwaan anak-anaknya dan menyuruh mereka berdiam diri.
Ekoran itu, kedua-dua beradik tersebut menghubungi talian bantuan polis daerah berkenaan.
Pada pagi Jumaat, mereka membuat panggilan kecemasan ke talian bantuan dan memaklumkan bahawa mereka berjaya melarikan diri dari rumah.
Polis kemudiannya mendaftarkan kes terhadap bapa tiri itu atas tuduhan merogol serta seksyen berkaitan lain berdasarkan aduan kedua-dua remaja tersebut.
Mereka juga memberitahu polis bahawa suspek pernah ditahan atas tuduhan membunuh bapa kandung mereka kira-kira 10 tahun lalu.
Bagaimanapun, suspek dibebaskan dan kemudiannya tinggal bersama ibu mereka sebelum berkahwin dengannya.
Dua beradik itu turut mengakui mereka tidak pernah menyukai bapa tiri tersebut kerana sejarah pembunuhan ayah kandung mereka.
Semasa disoal siasat, suspek menafikan semua tuduhan dan mendakwa dirinya difitnah.