Dua beradik ditemukan lemas di kolam tadahan

Dua beradik ditemukan lemas di kolam tadahan

am@hmetro.com.my

Ipoh: Dua beradik masing masing berusia lapan dan sembilan tahun maut akibat lemas di sebuah kolam tadahan air di kawasan tapak pembinaan di Lebuh Perindustrian Sin Yong Seng, Taman Chemor Ria, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, penemuan dua beradik itu dilaporkan melalui panggilan MERS 999 jam 8.33 malam semalam.

Katanya, mangsa dipercayai keluar bermain berhampiran kawasan tapak pembinaan bersebelahan rumah sewa keluarga mereka sebelum ditemukan dalam kolam tadahan air oleh orang awam.

“Kawasan tapak pembinaan itu tidak berpagar dan tiada papan tanda larangan dipamerkan.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini untuk rawatan kecemasan namun mangsa disahkan meninggal dunia jam 9.39 malam hari yang sama,” katanya melalui kenyataan malam ini.

Beliau berkata, bedah siasat di Jabatan Forensik HRPB mengesahkan punca kematian adalah akibat lemas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana terdapat unsur pengabaian terhadap kanak-kanak terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top