am@hmetro.com.my
Keningau: Dua beradik, masing-masing kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun dan bayi lelaki baru berusia tiga bulan hilang selepas dihanyutkan kepala air yang merempuh rumah mereka di Sungai Talangkai Karamatoi Ulu, Sook, di sini.
Mangsa warga Indonesia itu, Norsifah Asrul dan adiknya Muhd Fadli Asrul dikatakan terlepas daripada pegangan ibu bapanya ketika bersiap untuk dimandikan dalam kejadian kira-kira jam 5 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, berkata, ketika kejadian mangsa berada di ruang tamu rumah kongsi ladang sawit berhampiran lokasi bapa mangsa bekerja.
Menurutnya, rumah kongsi itu terletak kira-kira 20 meter dari sungai.
“Tanpa disedari mangsa, kepala air secara tiba-tiba meluru dengan deras hingga melimpahi tebing dan menghanyutkan rumah kongsi itu.
“Bencana ini ada kaitan dengan kejadian hujan lebat selama beberapa jam sebelum itu.
“Sebelum dihanyutkan kepala air, bapa mangsa sempat meninjau di luar rumah selepas terdengar teriakan pekerja lain di luar rumah mengatakan berlaku kejadian ‘gempa bumi’.
“Namun secara tiba-tiba, kepala air terus menerjah rumah mereka. Bapa mangsa dikatakan sempat masuk semula ke dalam rumah. Ketika itu ibu mangsa sedang memegang bayi (Muhd Fadli), manakala bapanya memegang Norsifah.
“Bagaimanapun kedua-dua mangsa terlepas dari pegangan kedua-dua ibu bapa selepas kediaman mereka dirempuh kayu balak yang turut dihanyutkan kepala air dan banjir,” katanya semalam.
Yampil berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kedua-dua mangsa kemudian dijalankan membabitkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan penduduk kampung.
“Pakaian yang dipakai kedua-dua mangsa ketika kejadian iaitu Muhd Fadli memakai baju warna putih dan berseluar pendek warna merah jambu manakala kakaknya (Norsifah) memakai baju gaun warna putih dan merah.
“Ibu bapa mangsa yang turut dihanyutkan arus deras banjir mengalami kecederaan dan kini masih berada di Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




