Sibu: Dua beradik maut apabila kereta yang mereka naiki kemalangan dengan sebuah lori tangki minyak di Kilometer 10 Jalan Majau, berhampiran SK Ulu Majau, Kanowit dekat sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Kanowit Deputi Superintendan Junical Ujal berkata, mangsa dikenali sebagai Musa Minggat, 50, (pemandu kereta) serta abangnya Budin Minggat, 67, dan mayat mereka dibawa ke Hospital Kanowit untuk bedah siasat.
“Polis mengesahkan dua lelaki maut dalam kemalangan jalan raya yang membabitkan kereta Perodua Axia berwarna perak dan sebuah lori tangki membawa muatan minyak di lokasi kejadian Jalan Majau berhampiran SK Ulu Majau, Kanowit.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Axia yang dipandu oleh mangsa telah hilang kawalan, bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Junical berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




