KUALA LUMPUR – Aksi luar biasa dua beranak mencuri tumpuan pada Kejohanan Muaythai Amatur Sang Saka Biru yang berlangsung di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini, pada 7 dan 8 Februari lalu.
Lebih manis, kedua-duanya pulang dengan pingat emas dalam kategori masing-masing, sekali gus membuktikan semangat juang sekeluarga dalam arena sukan tempur.
Atlet remaja, Adam Mikail, 12, yang juga pemenang pingat emas Muaythai Remaja Dunia di Abu Dhabi 2025, sekali lagi mempamerkan kehebatannya apabila menjuarai kategori berat badan 32 kilogram.
Adam berjaya menewaskan pencabarnya dari kelab Street Fighter Muaythai dalam perlawanan yang berlangsung sengit, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara bakat muda yang perlu diberi perhatian.
Menurut Adam, kemenangan itu memberi suntikan semangat untuknya terus berlatih lebih keras demi kejohanan akan datang.
“Saya sangat gembira dapat menang pingat emas. Lawan saya kuat, tapi saya ikut arahan jurulatih dan fokus sepanjang perlawanan. Kemenangan ini saya dedikasikan untuk ibu, keluarga dan jurulatih yang sentiasa menyokong saya,” katanya.

Adam Mikail mengekalkan reputasinya sebagai atlet remaja Muay Thai negara yang konsisten dalam persembahannya.
Turut mencuri perhatian ialah ibunya, Ima, 36, yang buat pertama kali menyertai kejohanan muaythai sebagai tanda sokongan terhadap minat anaknya dalam sukan berkenaan.
Penyertaan sulung itu ternyata membuahkan hasil apabila beliau turut meraih pingat emas serta Piala Kejohanan sumbangan Protube Studio.
Ima berkata, keputusan untuk turun gelanggang dibuat bagi memberi sokongan moral kepada anaknya selain mencabar diri sendiri.
“Saya sertai kejohanan ini untuk beri sokongan kepada Adam. Saya mahu dia nampak bahawa ibunya juga berani mencuba. Tak sangka percubaan pertama terus dapat emas dan piala.
“Ini pengalaman yang sangat berharga buat saya. Harap ia menjadi inspirasi kepada ibu bapa lain supaya sentiasa menyokong minat anak-anak,” katanya.

Percubaan pertama kali Ima dalam sukan Muay Thai membuahkan kejayaan membanggakan.
Pingat emas dan piala kejuaraan tersebut telah disampaikan oleh pelakon terkenal yang juga Duta Anti Buli Malaysia, Datuk Aaron Aziz.
Kejohanan Muaythai Amatur Sang Saka Biru Vol.1 anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menghimpunkan peserta dari pelbagai kelab muaythai seluruh negara, sekali gus menjadi platform pembangunan bakat baharu dalam sukan tempur tersebut.


