
Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian dua beranak mati ditembak di Krabi pada Selasa lepas. Foto: Thairath
KRABI – Hanya kerana seekor burung tiong, seorang lelaki bertindak kejam menembak mati jiran bersama anak perempuan berusia setahun serta mencederakan isteri mangsa dalam kejadian tragis di Koh Lanta, Thailand.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, Selasa lalu, Leftenan Polis Pimon Phromcharoen dari Balai Polis Koh Lanta menerima laporan berhubung kejadian tembakan di sebuah rumah di Koh Lanta Noi.
Setibanya di lokasi, polis dan pasukan forensik mendapati orang ramai sudah berkumpul di luar rumah tersebut.
Mangsa, Apiwat Manpian, 37, yang merupakan pemandu teksi di kawasan itu ditemui maut depan pintu rumah dengan kesan tembakan menembusi lengan kiri dan jantung.
Dua lagi mangsa dikejarkan ke Hospital Koh Lanta ialah isteri Apiwat, Sudarat Busman, 28, mengalami kecederaan di lengan kanan, manakala anak perempuan mereka, Nicharin Manpian terkena tembakan di kepala namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Hasil pemeriksaan, polis menemui lapan kelongsong peluru bertaburan di jalan depan rumah mangsa serta serpihan peluru lain dengan kaliber sama.
Suspek, Wiwat Sukontharat, 41, tinggal bertentangan rumah mangsa kemudiannya melarikan diri dari lokasi kejadian dengan menaiki motosikal Yamaha R15 berwarna hitam dan biru.
Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pertikaian mengenai burung tiong milik suspek yang terlepas dan secara tidak sengaja dijual oleh penduduk lain kepada mangsa.
Apabila Wiwat menyedari perkara itu, dia menuntut burungnya semula hingga mencetuskan pertengkaran antara mereka.
Pada hari kejadian, suspek dikatakan terlihat Apiwat dan bertindak mengambil sepucuk pistol sebelum melepaskan tembakan dari jarak dekat.