rnoraina@hmetro.com.my
Sungai Buloh: Dua beranak parah dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di persimpangan lampu isyarat Bukit Subang berhampiran susur Lebuhraya Guthrie di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, kereta dipandu wanita berusia 29 tahun dengan anak perempuannya berusia empat tahun berada dalam kerusi bayi, dan empat lagi kenderaan lain, dirempuh sebuah lori.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu pada 1.20 tengah hari.
“Siasatan awal menerusi rakaman video mendapati lori yang dari arah Batu Arang menghala ke Cyberjaya dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu melanggar kereta Proton Saga BLM dinaiki dua mangsa dan empat lagi kenderaan di lorong sebelah.
“Kejadian mengakibatkan pemandu dan penumpang Proton Saga parah serta kerosakan teruk kepada semua kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Hafiz berkata, susulan kejadian, polis menahan pemandu lori iaitu lelaki berusia 31 tahun untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Azie Azyantie Mohd Rafae di talian 013-6756317 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di talian 03-61561222.
© New Straits Times Press (M) Bhd