am@hmetro.com.my
Shah Alam: Wanita dan pemandu lori berdepan detik cemas selepas kenderaan dipandu masing-masing dihempap pokok tumbang dalam dua kejadian berasingan, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pertama di Batu 14, Jalan Kapar-Kuala Selangor pada 9.57 malam yang membabitkan pemandu lori.
Katanya, pasukan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor ke lokasi, yang mendapati pokok tumbang sebesar lima pemeluk di jalan utama, menghempap sebuah lori.
“Pemandu lori berusia 35 tahun terhimpit dalam kenderaannya dan berjaya dikeluarkan anggota dalam keadaan selamat, hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara kejadian kedua dilaporkan pada 10.43 malam di Jalan Paip, Kampung Budiman dekat sini.
Ahmad Mukhlis berkata, dalam kejadian itu, kereta dipandu pemandu wanita berusia 37 tahun bersama anak lelaki berumur sembilan tahun dihempap pokok tumbang.
“Pasukan BBP Kapar ke lokasi dan komander operasi memaklumkan pokok tumbang menghempap Perodua Myvi yang sedang bergerak.
“Terdapat dua mangsa iaitu ibu dan anak, yang mana anak mengalami cedera ringan di kepala, dihantar ke klinik berhampiran untuk rawatan,” katanya.
Terdahulu, JBPM Selangor memaklumkan berlaku beberapa kejadian pokok tumbang berikutan angin kuat melanda kawasan antaranya di Meru, Klang dan Bestari Jaya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




