Dua beranak sama-sama cipta rekod!

Dua beranak sama-sama cipta rekod!

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua beranak mencipta memori indah dalam hidup apabila kedua-dua mereka melakar nama sebagai pemegang rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) pada 2020.

Kontraktor, Lim Wie Keong, 33, memegang dua rekod dalam MBOR iaitu kategori tekan tubi paling banyak dalam tempoh seminit.

Beliau melakukan tekan tubi sebanyak 82 kali serta tekan tubi diamond (pergerakan rapat ibu jari dan jari telunjuk sehingga membentuk bentuk berlian) paling banyak dalam tempoh seminit iaitu sebanyak 50 kali.

Anaknya, Ron Lim Jun Fong, 12, memegang rekod tekan tubi paling banyak dalam tempoh sejam bagi kanak-kanak iaitu 723 kali ketika berusia tujuh tahun.

Lim atau mesra dengan panggilan Rex berkata, pencapaian itu diraihnya selepas menjalani latihan berterusan selama enam tahun sejak 2014.

“Kebanyakan masa saya berada di gimnasium. Bermula dari situ, saya menjalani latihan melakukan tekan tubi sebelum disarankan untuk melakukan cabaran bagi memecah rekod dalam MBOR.

“Latihan insentif dilakukan mendorong anak saya, Ron yang aktif dalam sukan wushu sejak berusia empat tahun untuk turut sama melakukan tekan tubi,” katanya ketika ditemu bual di pejabat MBOR di sini.

Rex berkata, dia dan anaknya membuat cabaran tekan tubi selama satu jam bersama-sama pada 4 Mei 2020, namun hanya anaknya yang berjaya mencipta rekod dalam MBOR.

“Cubaan kali pertama berkenaan tidak berjaya apabila hanya merekodkan lebih 1,400 tekan tubi dengan rekod dicatatkan ketika adalah lebih 1,500 kali.

“Justeru itu, saya tukar cabaran kepada tekan tubi paling banyak dalam tempoh seminit dan membuat cabaran berkenaan seminggu selepas cubaan pertama.

“Dalam cabaran itu, saya berjaya merekodkan tekan tubi paling banyak iaitu 82 kali dalam tempoh seminit,” katanya yang berasal dari Melaka.

Menurutnya, dia merancang untuk memberikan latihan kepada Ron bagi melakar lebih banyak rekod selain mencapai kejayaan dalam sukan wushu yang disertainya.

“Saya bersyukur kerana perjuangan kami (bersama Ron) untuk memegang rekod berkenaan disokong ahli keluarga.

“Ia sekali gus mendorong kami untuk terus menjalani latihan bagi menjadi individu yang mempunyai kekuatan serta kelebihan tersendiri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top