sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dua beregu lelaki dan dua beregu campuran negara mara ke suku akhir Terbuka Macau, esok.
Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang turun lebih awal di pusingan kedua, hari ini, menewaskan lawan dari Hong Kong, Lui Chun Wai-Fu Chi Yan, 21-18, 21-10 dalam masa 31 minit.
Tetapi tugas berat menanti Pang Ron-Su Yin di suku akhir apabila akan bertemu pilihan pertama dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet untuk merebut tempat ke separuh akhir.
Turut ke suku akhir adalah gandingan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien yang menewaskan wakil India, B Sumeeth Reddy-Sikki Reddy, 21-17, 21-14.
Mereka akan berhadapan lawan lebih kuat iaitu pilihan kelima dari China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui di suku akhir.
Bagi beregu lelaki pula, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong berhempas pulas sebelum mengejutkan atas gandingan Indonesia, Shohibul Fikri-Daniel Marthin, 21-18, 14-21, 21-11.
Di suku akhir, Azriyn-Wee Kiong akan bertemu gandingan Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong.
Dua beregu lelaki negara, Bryan Jeremy Goonting-Fazriq Razif dan Goh Boon Zhe-Wong Vin Sean bertemu sesama sendiri di pusingan kedua dan pemenang akan ke suku akhir.
Bagaimanapun, wakil tunggal perseorangan lelaki negara, Justin Hoh terkandas di pusingan kedua apabila tewas dalam pertarungan tiga set kepada pilihan kelapan kejohanan dari Indonesia, Alwi Farhan, 21-15, 16-21, 17-21.
© New Straits Times Press (M) Bhd




