Sebelum sah bercerai talak satu, pelakon Siti Saleha menerima berita duka apabila datuknya yang menetap di United Kingdom (UK) meninggal dunia akibat serangan jantung, semalam.
Menerusi laporan BH Online, pelakon berusia 32 tahun itu mengakui tetap bersedih dengan keruntuhan rumah tangganya bersama bekas suami Ahmad Lutfi Azhar.
“Kebetulan pagi semalam, saya mendapat perkhabaran datuk yang menetap di United Kingdom (UK) meninggal dunia akibat serangan jantung.
“Kemudian bekas suami pula lafazkan talak. Bermakna ada dua berita duka yang saya terima, semalam.
“Walaupun sedih kerana pengakhiran perkahwinan kami tidak seperti yang diharapkan, saya reda dan anggap tiada jodoh antara kami,” katanya.
Bagaimanapun, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu tidak menganggap perpisahan tersebut sebagai bermusuhan sebaliknya mereka masih boleh berkawan baik.
Selain itu, dia menyedari usikan netizen di media sosial mengenai jodoh namun fokusnya ketika ini bukanlah untuk mencari pengganti.
“Apabila baca komen pengikut di media sosial, ramai yang hendak ajak saya bercinta. Tetapi mereka gunakan nama Mia iaitu watak saya dalam drama bersiri 7 Hari Mencintaiku.
“Lucu apabila mereka cuba ‘cucuk jarum’. Buat masa ini, saya tidak fikir langsung soal berpacaran. Fokus saya adalah hanya untuk bekerja,” katanya yang juga kakak kepada penyanyi Sam Bunkface.
Sumber: BH Online (Farihad Shalla Mahmud) , Instagram Siti Saleha