London: Ketua jurulatih Manchester United, Ruben Amorim berseloroh betapa dua bulan sejak mengendalikan kelab itu menambah 10 tahun dalam usianya dan berasakan beliau kini berusia 50 tahun, bukannya 40.
United menghadiahkan pengendali dari Portugal itu hadiah hari jadi awal dengan kemenangan 1-0 di Fulham pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi Isnin.
Dia harus berterima kasih kepada pemain pertahanan, Lisandro Martinez apabila bola rembatannya terkena pemain lawan sebelum menerjah gawang, namun Amorim menolak permintaan pemain untuk berehat semalam.
“Ia bukannya 40… saya sudah 50! Selepas dua bulan di Manchester United, ia 50,” seloroh Amorim di BBC Match of the Day 2.
“Ia satu keistimewaan untuk menyambut hari lahir ke-40 saya di sini.
“Mereka minta cuti sehari esok. Saya tidak memberinya, jadi kami berlatih esok kerana ia hari jadi saya dan hadiah saya adalah untuk bekerja dengan pemain yang tidak beraksi.
“Ia fantastik kerana kami menang. Kemudian saya akan makan malam bersama anak-anak saya.”
Ia adalah kekalahan pertama di Craven Cottage buat Fulham sejak 23 November lalu dan Amorim mengakui beliau terhutang budi kepada pemain berusia 21 tahun, Toby Collyer, yang menyelamatkan bola di atas garisan, sekali gus menafikan gol penyamaan tuan rumah di hujung perlawanan.
“Dia melakukannya ketika latihan sekali. Toby menyelamatkan pasukan kami hari ini,” kata Amorim.
© New Straits Times Press (M) Bhd




