Kuala Lumpur: Masalah kesihatan seksual lelaki, termasuk isu fungsi ereksi (Erectile Dysfunction, ED) dan pancut awal (Premature Ejaculation, PE), semakin mendapat perhatian di negara ini.
Kajian antarabangsa mendedahkan bahawa dua daripada tiga lelaki berisiko mengalami masalah ini sepanjang hayat dan ia bukan sahaja menjejaskan keyakinan diri, malah memberi kesan terhadap keharmonian rumah tangga serta kesejahteraan keluarga.
Pengarah Urusan HIM Wellness, Dr Ahmad Samhan berkata, ramai lelaki masih cenderung menyembunyikan masalah mereka kerana berasa malu, sehingga akhirnya isteri yang tampil mengadu.
Katanya, kesihatan seksual lelaki bukan sekadar isu individu tetapi memberi kesan kepada keluarga dan masyarakat.
“Apabila lelaki sihat, rumah tangga lebih bahagia dan produktiviti hidup turut meningkat.
“Selain faktor fizikal, masalah kesihatan seksual lelaki turut berkait rapat dengan gaya hidup, tekanan mental dan tahap kesihatan menyeluruh.
“Oleh itu, pendekatan moden yang merangkumi pemeriksaan awal, rawatan klinikal, gaya hidup sihat serta sokongan psikososial adalah kunci kepada penyelesaian jangka panjang,” katanya pada Seminar Pengukuhan Dan Sambutan Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki yang dianjurkan oleh Klinik Kesihatan Sungai Besi dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dalam pada itu, Dr. Ahmad turut menegaskan bahawa masalah mati pucuk (ED) dan pancut awal (PE) bukanlah sesuatu yang harus dianggap memalukan kerana puncanya boleh datang daripada faktor kesihatan seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, tahap hormon rendah, mahupun gaya hidup tidak sihat termasuk stres dan merokok.
“Berita baiknya, rawatan dan solusi tersedia dalam pelbagai bentuk menerusi perubahan gaya hidup seperti berhenti merokok, mengawal paras gula serta bersenam, hinggalah kepada kaedah moden seperti rawatan shockwave yang membantu memulihkan aliran darah zakar.
“Selain itu, senaman kegel, teknik kawalan dan pengambilan makanan tambahan berdaftar yang selamat juga mampu membantu meningkatkan kualiti kesihatan seksual lelaki,” ujarnya.
Program ini bertujuan bagi membongkar mitos serta memberi pendedahan tentang fakta sebenar berkaitan kesihatan lelaki yang sering dianggap isu taboo.
Mengenai Seminar Pengukuhan Dan Sambutan Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki pula ia adalah perkongsian interaktif bersama pakar kesihatan lelaki, dengan memberi fokus kepada mitos dan fakta mengenai kesihatan seksual lelaki, kepentingan rawatan awal serta gaya hidup sihat selain menggalakkan lelaki tampil mendapatkan bantuan tanpa rasa malu.
“Saya harap program ini dapat menjadi platform berterusan dalam memecahkan stigma dan mengubah persepsi masyarakat bahawa kesihatan lelaki adalah sebahagian penting daripada kesihatan keluarga dan negara,” ujar Dr Ahmad.
© New Straits Times Press (M) Bhd




