Dua ditahan, acu pistol tiruan selepas kereta berlanggar

Dua ditahan, acu pistol tiruan selepas kereta berlanggar

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis menahan lelaki yang mengacukan pistol tiruan ke arah individu yang keretanya dilanggar dalam kejadian di Jalan Desa, Taman Desa di sini, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemandu kereta yang berusia 28 tahun pada jam 12.55 tengah malam.

Menurutnya, lelaki itu memaklumkan kereta jenis Honda City dipandunya dilanggar sebuah lagi kenderaan pada 11 malam.

“Berikutan itu, berlaku pertengkaran antara mereka dan secara tiba-tiba pemandu kereta jenis Toyota Yaris terbabit mengeluarkan sepucuk pistol hitam dan mengacukannya ke arah pengadu.

“Susulan laporan, polis berjaya menahan dua lelaki warga tempatan berumur 19 dan 27 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati pistol itu adalah pistol tiruan yang dibeli di aplikasi TikTok milik salah seorang suspek.

“Kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga 5 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tiruan.

“Polis menasihati orang ramai supaya melaporkan sebarang bentuk jenayah atau pelanggaran undang-undang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top