Dua ditahan, minta suapan untuk proses permohonan dan banci tanah

Dua ditahan, minta suapan untuk proses permohonan dan banci tanah

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu iaitu penjawat awam dan pesara kerajaan, disyaki meminta dan menerima rasuah RM66,000 sebagai dorongan untuk memproses permohonan tanah serta melakukan bancian lot tanah.

Sumber berkata, dua lelaki berusia lingkungan 50 hingga 60-an itu ditahan antara 10 hingga 11 pagi hari ini ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.

Katanya, mereka dipercayai melakukan perbuatan berkenaan pada 2016, walaupun kedua-duanya tiada kelayakan untuk memproses permohonan dan bancian tanah.

“Siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek dipercayai menerima suapan berjumlah kira-kira RM54,000 dan RM12,000 setiap seorang daripada beberapa individu untuk proses tanah didakwa di bawah skim tanah milik kerajaan negeri,” katanya hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspak untuk siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top