Dua ditahan pindah minyak sawit secara tak sah

Dua ditahan pindah minyak sawit secara tak sah

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Cubaan dua lelaki memindahkan minyak sawit dengan mengisinya dalam tong daripada lori tangki secara tidak sah di sebuah kebun sawit di Ulu Kayan, Sitiawan di Perak gagal apabila mereka ditahan pihak berkuasa.

Mereka ditahan Pasukan Risik/Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Kampung Acheh, Perak dan Bahagian Penguat Kuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Cawangan Bagan Datuk, Perak melalui Op Taring Landai (Inter-Agensi) jam 11 pagi, kelmarin.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Jaffri Bidin berkata, pasukan serbuan mengesan sebuah lori tangki dan van pelbagai guna dalam keadaan mencurigakan di kebun berkenaan sebelum menjalankan pemeriksaan lanjut.

“Susulan itu, pasukan mendapati dua lelaki tempatan berusia 51 tahun yang juga pemandu lori tangki dan pemandu van berusia 35 tahun sedang menjalankan kerja pemindahan minyak sawit secara tidak sah.

“Pemindahan itu dilakukan dari lori tangki ke tong minyak yang berada dalam van berkenaan dengan menggunakan hos dan pam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, susulan itu dua lelaki terbabit ditahan dan pasukan operasi merampas sebuah tong IBC, empat tong drum yang berisi minyak dipercayai minyak sawit yang berada dalam van, satu pam minyak bersama hos.

“Turut dirampas van berkenaan dan lori tangki yang membawa muatan kira-kira 33 tan minyak sawit disyaki jenis ‘crude palm kernel oil’ (CPKO). Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM568,081.77.

“Kedua-dua lelaki itu bersama barang rampasan diserahkan kepada MPOB Bagan Datuk untuk tindakan lanjut mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582),” katanya.

Jaffri berkata, pihaknya juga akan meneruskan kerjasama dengan MPOB dalam membanteras sebarang aktiviti penyelewengan minyak sawit dan mengalu-alukan maklumat berhubung aktiviti itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top