MELAKA: Dua lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai terlibat kesalahan menyimpan barang kawalan tanpa permit membabitkan rampasan gas petroleum cecair (LPG) dan diesel bernilai lebih RM48,000 dalam dua serbuan berasingan di negeri ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Dr. Mohd. Hazimin Jamaludin berkata, kedua-dua serbuan dijalankan menerusi Op Gasak 2025 dan Op Tiris 2025 susulan aduan awam serta risikan penguat kuasa.
Katanya, dalam serbuan pertama pada 13 Mei lalu di Klebang Besar, pemeriksaan menemui 17 tong LPG seberat 14 kilogram (kg) dengan nilai rampasan RM2,149.82 di sebuah premis.
“Hasil siasatan mendapati pemilik premis gagal mengemukakan permit atau lesen menyimpan barang kawalan itu. Seorang lelaki tempatan ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Mohd. Hazimin, serbuan kedua pula dilakukan keesokan hari di Alor Gajah yang membawa kepada penemuan 13,040 liter disyaki diesel dengan nilai rampasan dianggarkan RM46,048.
Tambahnya, pemilik premis juga gagal menunjukkan dokumen kebenaran berurusan dengan barang kawalan terbabit dan ditahan membantu siasatan mengikut akta sama.
Katanya, sejak 1 Januari hingga 14 Mei tahun ini, KPDN Melaka telah menghasilkan 157 kes melibatkan pelbagai akta dengan nilai rampasan keseluruhan RM143,325.20.
“Sebanyak RM44,100 nilai kompaun telah dikeluarkan, manakala jumlah denda direkodkan ialah RM101,000. Enam kes tangkapan telah direkodkan membabitkan tujuh individu sepanjang tempoh tersebut,” katanya. – UTUSAN