Dua doktor mengaku salah berkhalwat didenda

Dua doktor mengaku salah berkhalwat didenda

am@hmetro.com.my

Melaka: Sepasang kekasih yang juga doktor masing-masing didenda RM2,600 dan RM1,800 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkhalwat di sebuah rumah di Taman Semabok Perdana, di sini, Julai lalu.

Hakim Kanan Syarie Abu Bakar Mohd Daud menjatuhkan hukuman terhadap Dr Abdul Hakim Abdul Rahman dan Dr Nur Arifah Adlina Azman, masing-masing berusia 26 tahun selepas meneliti fakta kes, rayuan tertuduh serta hujah pihak pendakwaan.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh yang bertugas masing-masing di Hospital Melaka dan sebuah klinik di Sarawak dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Dr Abdul Hakim didapati berkurung dalam keadaan mencurigakan bersama Dr Nur Arifah Adlina yang bukan isteri atau mahramnya di sebuah rumah di Jalan SP 12, Taman Semabok Perdana, Semabok, jam 3.37 petang pada 29 Julai lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 53(1) Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991, manakala Dr Nur Arifah Adlina dituduh mengikut Seksyen 53(2) enakmen sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh lelaki boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 manakala wanita sehingga RM2,000 atau penjara maksimum 24 bulan atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan kes dikendalikan Pendakwa Syarie, Radzwan Abdullah manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, Dr Abdul Hakim memohon hukuman ringan atas alasan tekanan yang dihadapinya menyebabkan dia insaf serta berjanji tidak mengulangi kesalahan.

Selain itu, beliau turut mengakui bakal melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat, malah kes berkenaan juga akan memberi kesan besar terhadap kerjayanya selaku seorang penjawat awam.

Sementara itu, Dr Nur Arifah Adlina yang masih bujang turut merayu hukuman ringan kerana menyesal, insaf dan menghadapi tekanan emosi atas kesalahan pertama yang dilakukan.

Radzwan dalam hujah pemberatan bagaimanapun memohon hukuman lebih tegas dikenakan kerana perbuatan itu dikategorikan sebagai dosa besar, selain kedua-duanya adalah doktor yang seharusnya menunjukkan teladan baik.

Beliau turut berhujah bahawa alasan pengurangan hukuman tidak disokong dengan alasan kukuh.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top