sukan@hmetro.com.my
Alor Setar: Kapten Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Sony Norde menganggap dua jaringan yang dihasilkann dalam membantu Sang Kenari mencapai kemenangan 3-2 ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City) pada saingan pusingan 16 pasukan Piala Malaysia semalam adalah hadiah terbaik buat jurulatih, Nafuzi Zain dan seluruh penyokong.
Pada aksi berkenaan semalam, Norde mencetuskan kegembiraan penyokong apabila meledak dua gol pada minit ke-26 dan 30 bagi membantu skuadnya bangkit menewaskan KL City selepas ketinggalan satu gol di awal perlawanan.
Ini berikutan aksi di Stadium Darul Aman aksinya yang terakhir di laman sendiri sebelum ‘mengangkat kaki’ ke Liga Indonesia pada 2 Disember depan.
Pemain kelahiran Haiti ini dilamar kelab Malut United FC (MUFC) untuk bersaing dalam Liga 1 Indonesia pada musim depan dan difahamkan dia bakal menandatangani kontrak rasmi bersama kelab itu sebaik tiba di Indonesia nanti.
Ini bermakna Norde menjadi pemain import kelima di bawah kendalian Nafuzi Zain yang bakal meninggalkan pasukan selepas Lee Tuck, Manuel Hidalgo, Manuel Ott dan Habib Haroon yang lebih dulu mencari haluan baru masing-masing sebelum ini.
Menurut Norde, dua gol berkenaan hadiah cukup bermakna daripadanya buat Nafuzi dan juga penyokong yang masih setia untuk hadir memberi sokongan walaupun kelab masih dilanda permasalahan.
“Dua gol ini cukup menggembirakan saya dan pasukan walaupun kami hanya ada 12 pemain dan kami tidak menjangkakan kami mampu capai kemenangan pada malam ini. Namun saya bersyukur kami peroleh kemenangan sangat bermakna di laman sendiri.
“Saya mahu lakukan usaha terbaik setiap kali saya turun beraksi dan itulah yang saya idam dan lakukan bersama pasukan di hadapan penyokong setia Kedah,” katanya selepas tamat aksi semalam.
Menyentuh mengenai langkah yang terpaksa diambil meninggalkan KDA FC, beliau mengakui keputusan yang diambil itu bukan mudah demi memastikan kejayaan perancangan masa depannya dan keluarga.
“Saya dan pihak kelab membuat persetujuan bersama atau mutual agreement selepas kelab menghadapi masalah kewangan dalam tempoh yang panjang dan keputusan yang saya buat ini adalah untuk keluarga saya dan saya mahu teruskan usaha demi kerjaya saya.
“Untuk keluarga, saya terpaksa membuat keputusan yang sukar ini dan tidak mudah walaupun terpaksa menghadapi keadaan ini dan sebagai pemain profesional saya harus bergerak ke depan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




